PASIR MAS 2 Okt – Dua sahabat yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Bunut Susu-Tendong di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.20 malam itu, penunggang motosikal Amin Syahril Ezzry Ibrahim, 14, dan pembonceng Aiman Mustakim Ali, 14, maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian kedua-dua pelajar itu dari arah Tendong menghala ke Bunut Susu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi kedua-dua remaja itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, motosikal itu telah bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang wanita.
“Kereta Proton Wira itu dari arah Bunut Susu menghala ke Tendong, bagaimanapun pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Abdullah memberitahu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dituntut oleh keluarga.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE.










