Dua rakan didakwa rompak pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Dua rakan didakwa rompak pasangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 1 Okt. – Dua sahabat mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan melibatkan rompakan berkumpulan ke atas pasangan suami isteri warga emas di Kampung Pernu, bulan lalu.

Tertuduh, Bakhtiar Jamil, 47, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail, manakala rakannya Ahmad Mee, 48, turut membuat pengakuan sama di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Bakhtiar didakwa telah bersubahat dengan Ahmad Mee dan seorang yang masih bebas untuk melakukan rompakan berkumpulan terhadap Mariam Mahmud, 66, dan suaminya Alias Simin, 67, dengan menggunakan sebilah kacip pinang serta pisau sebagai senjata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rompakan itu menyebabkan kerugian barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit berjumlah lebih kurang RM30,000 dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam di sebuah rumah di Jalan Melaka Muar, Kampung Pernu di sini, 6 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 395/397 kanun sama.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Ahmad Mee bersama seorang yang masih bebas didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan tersebut terhadap mangsa sama melibatkan jumlah kerugian RM30,000 dengan menggunakan sebilah kacip pinang dan pisau sebagai senjata atau cuba menyebabkan kematian atau cedera parah kepada kedua-dua mangsa.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Terdahulu, pendakwaan masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban dan Siti Ruvinna Mohd. Rawi tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala kedua-dua tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar rayuan, Norma membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Bakhtiar, manakala Ahmad Mee dikenakan jaminan sebanyak RM18,000.

Kedua-dua hakim kemudian menetapkan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baru-baru ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas berdepan pengalaman menakutkan apabila disamun dan dipaksa menelan enam biji pil dalam kejadian di rumah pasangan itu di Kampung Pernu di sini.

Ekoran kejadian itu, kedua-duanya yang berusia 66 tahun dan 67 tahun cedera di bahagian pergelangan tangan dan tidak sedarkan diri hampir 20 jam. Pasangan tersebut yang menerima rawatan di Hospital Melaka di sini bagaimanapun dilaporkan stabil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini