MELAKA – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan merompak sepasang warga emas di Kampung Pernu di sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Bakhtiar Jamil, 47, dan Ahmad Mee, 48, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Hakim Elesabet Paya Wan.
Bakhtiar didakwa bersubahat dengan Ahmad Mee dan seorang lagi yang masih bebas merompak Mariam Mahmud, 66, dan suaminya, Alias Simin, 67, dengan menggunakan sebilah kacip pinang serta pisau sebagai senjata.
Rompakan yang menyebabkan kerugian barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit berjumlah lebih kurang RM30,000 dilakukan pada pukul 7.15 malam di sebuah rumah di Jalan Melaka Muar, Kampung Pernu pada 6 September lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Ahmad Mee bersama seorang yang masih bebas didakwa merompak pasangan sama dengan menggunakan sebilah kacip pinang dan pisau sebagai senjata atau cuba menyebabkan kematian atau cedera parah kepada kedua-dua mangsa.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Mee berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Bakhtiar dan RM18, 000 bagi Ahmad Mee. Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 November depan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri warga emas melalui pengalaman menakutkan apabila disamun dan dipaksa menelan pil dalam kejadian di rumah pasangan itu di Kampung Pernu.
Dalam kejadian itu, kedua-duanya yang berusia 66 dan 67 tahun cedera pada pergelangan tangan dan tidak sedarkan diri hampir 20 jam. – K! ONLINE











