GEORGE TOWN – Dua penumpang lelaki maut manakala pemandu terselamat apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu dekat Gelugor di sini kira-kira 6.20 pagi tadi.
Mangsa iaitu penumpang hadapan, Abdul Rahim Yahaya, 52, dan K. Puventhiran, 25, yang duduk di belakang disahkan mati ditempat kejadian akibat parah pada anggota badan.
Dalam kejadian itu, hanya pemandu kereta jenis Toyota Avanza, A.
Victor Raj, 25, terselamat dan dipercayai telah dibawa saudaranya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian kenderaan yang dinaiki mangsa menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dari arah pusat bandar George Town.
Menurutnya, kenderaan yang dipandu mangsa yang terselamat dikatakan telah terbabas sendiri ke kiri lebuh raya dan melanggar pada besi penghadang jalan.
“Akibat pelanggaran itu, besi penghadang terbabit telah menembusi bahagian hadapan kenderaan dan tertusuk sehingga ke tempat penumpang yang maut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berlaku dan akan mendapatkan maklumat daripada pemandu yang terselamat,” katanya di sini sebentar tadi. – K! ONLINE











