ALOR SETAR – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki dirempuh sebelum dihempap sebuah treler yang terbabas ke laluan bertentangan di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, Sungai Petani dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa yang belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku apabila sebuah treler tanpa muatan dari arah Sungai Lalang menghala Bukit Selambau hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Treler itu kemudian merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dan terjatuh ke kawasan ladang getah di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta disahkan telah meninggal dunia.
“Pemandu treler yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kren untuk mengalihkan treler yang menghempap kereta tersebut. – K! ONLINE









