Doktor bakal kahwin dua minggu lagi antara yang terbunuh - Utusan Malaysia

Doktor bakal kahwin dua minggu lagi antara yang terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGERANG, Indonesia – Intan Indah Sari sedih ke­rana kehilangan bakal suaminya, Dr. Rio Nanda Pratama yang terkorban selepas pesawat Lion Air JT610 terhempas ke dalam Laut Jawa kelmarin, lapor portal be­rita detik.com semalam.

Intan dan Rio me­rancang untuk me­langsungkan pernikahan dua minggu lagi.

Bakal suaminya itu menaiki pesawat tersebut untuk pulang ke bandar utama di Kepulauan Bangka Belitung, Pangkal Pinang dekat Sumatera.

“Calon suami saya di dalam pesawat Lion Air. Dia anak jati Pangkal Pinang tetapi menghadi­ri satu seminar di Jakarta. Selepas seminar selesai, dia mahu terus pulang ke Pangkal Pinang,” kata Intan di Pusat Krisis, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang semalam.

Intan menangis da­lam pelukan keluar­ganya. Salah seorang anggota keluarganya memberitahu Rio sudah melamar Intan.

“Calon suami Intan merancang untuk bernikah dua minggu lagi,” kata seorang anggota keluarganya.

Intan yang me­ngenakan tudung berwarna cerah berkata, calon suaminya bekerja di Hospital Bakti Timah, Pangkal Pinang.

Kenangan terakhir dalam ingatan wanita itu adalah dia sempat memeluk Rio sebanyak lima kali ketika calon suaminya hendak berlepas ke Jakarta. Intan juga berpesan kepada Rio supaya menjaga dirinya semasa berada di ibu negara Indonesia itu.

“Sempat peluk sampai lima kali, saya memberitahu dia ­supaya menjaga dirinya,” katanya.

Wanita itu berkata lagi, laya­nan oleh pihak Lion Air terhadap keluarga mangsa korban termasuk diri­nya cukup baik.

Bagaimanapun, dia berharap jenazah calon suaminya dapat ditemui dengan segera.

Sementara itu, di Jakarta, Harvino tidak sepatutnya menjadi pembantu juru­terbang pe­nerbangan Lion Air JT610.

“Bukan dia yang sepatutnya bertugas pada hari tersebut tetapi orang lain,” kata adiknya, Vinni Wulandari di Tangerang.

Dia mendakwa pembantu juruterbang yang tugasnya kemudian digantikan oleh Harvino tidak mempunyai lesen untuk menerbangkan Boeing 737 MAX.

Pembantu juruterbang ber­usia 41 tahun yang sudah ber­khidmat selama empat tahun itu mempunyai seorang isteri dan dua orang anak. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN