DBKL sedia berbincang - Utusan Malaysia

DBKL sedia berbincang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan pertemuan dengan pemilik-pemilik gerai di Jalan Sultan Sulaiman 1 di sini untuk berbincang mengenai pembinaan pusat penyembelihan ayam bersebelahan tapak perniagaan mereka.

Pengarah Ekseku­tif Perancangan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd ketika dihubungi memaklumkan pi­­haknya sedia menyemak semula kesesuaian pembinaan pusat penyembelihan berkenaan.

“Kami sedia berjumpa dengan peniaga-peniaga gerai di situ untuk membincangkan isu ini selepas bantahan yang dilakukan oleh mereka semalam.

“Sesuai atau tidak pembinaan projek itu akan dibincang dalam pertemuan selepas musim perayaan Deepavali ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Ahad lalu, sebanyak 28 pengusaha gerai makan yang popular sebagai destinasi ‘syurga ikan singgang’ itu berkumpul bagi membantah pembinaan pusat penyembelihan ayam yang dikatakan akan bermula pada 4 November ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Jalan Sultan Sulaiman 1, Mohd. Ibrahim Din ber­kata, pembinaan projek di bahagian hadapan gerai berkenaan akan menimbulkan masalah besar kepada peniaga antaranya masalah pencemaran bau dan pembiakan serangga serta makhluk perosak.

“Jaraknya terlalu dekat. Laluan ini akan jadi jalan keluar masuk lori ayam yang pasti menyebabkan kawasan ini berbau busuk.

“Secara tak langsung ini akan menjejaskan perniagaan kami yang sudah lama berniaga di sini,’’ katanya ketika ditemui selepas mengetuai bantahan tersebut.

Mohd. Ibrahim berkata, pi­haknya kecewa dengan keputusan DBKL yang membenarkan pembinaan pusat penyembelihan berkenaan tanpa sebarang perbincangan dengan golongan peniaga dan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Seorang peniaga, Salim Mat Shah, 58, berkata, deretan gerai ikan singgang itu cukup ter­kenal dalam kalangan pelancong asing bahkan sentiasa menerima kunjungan individu berpengaruh dalam negara ini.

“Jika projek ini diteruskan kami golongan peniaga mungkin akan gulung tikar dan lokasi ini sebagai tarikan tempat makan popular di Kuala Lumpur juga akan hilang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN