KUALA LUMPUR – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang menggubal Dasar Air Negara bagi menyediakan kerangka perancangan dan pelan tindakan air negara yang holistik.
Menteri berkenaan, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, ia merentasi pelbagai sektor bagi menangani segala isu dan kelemahan mekanisme sedia ada serta melakar tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air negara terjamin.
Beliau menarik perhatian bahawa isu keselamatan dan kemampanan air berkait rapat dengan hal ehwal tanah dan sumber asli setiap negeri.
“Di bawah kementerian ini, semua aspek pemuliharaan hutan, biodiversiti, perlindungan kawasan tadahan dan guna tanah yang berkait langsung dengan sumber air (akan dipastikan) dapat diurus secara bersepadu bagi menjamin kelangsungan sumber air bagi memenuhi keperluan bekalan air rakyat, pengguna, industri dan pembangunan negara,” katanya.
Jayakumar menjawab soalan asal William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai langkah kementerian menjamin kemampanan air negara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan air terus daripada paip 100 peratus selamat untuk diminum.
“Memang air keluar terus daripada paip boleh diminum, tiada masalah. Memang saya sendiri minum air paip…Kalau ada masalah, ia adalah masalah tempatan dan bukan kerana masalah air rawatan loji,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu langkah kementerian memastikan air paip selamat diminum oleh orang ramai. – Bernama











