KUALA LUMPUR 5 Okt. – UMNO mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada semua parti politik sebelum memperkenalkan mekanisme baharu atau undang-undang mengenai dana politik di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, hakikatnya sumber kewangan sangat penting bagi sesebuah badan politik yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah mencadangkan rang undang-undang (RUU) mengenai pembiayaan politik namun tidak berjaya dilakukan kerana tidak diterima pembangkang ketika itu.
“Cadangan RUU itu bagi membolehkan kita membuat sebarang rujukan mengenai seliaan dana politik.
“Namun oleh kerana semua perkara ini akan memberikan kesan kepada semua parti politik, kerajaan mesti mendapat pandangan dan persetujuan daripada semua parti politik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan menggubal dan membentangkan undang-undang baharu berkaitan akta dana politik sebagai sebahagian usaha membanteras rasuah termasuk pemberian wang atau dana daripada ahli atau penyokong parti yang mengharapkan balasan.-UTUSAN ONLINE











