PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan tindakan yang diambil untuk mendakwa isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bukan membalas dendam, sebaliknya dilakukan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Jelas beliau, seseorang yang didakwa melakukan sebarang kesalahan jenayah perlu dihadapkan ke mahkamah dan akan ditentukan sama ada bersalah atau tidak.
“Apa yang kita lakukan adalah berlandaskan undang-undang, tiada siapa berada atas daripada undang-undang jadi apa-apa yang bertentangan dengan undang-undang maka proses perundangan akan dilakukan itu janji kita, tidak ada sebarang unsur balas dendam.
“Ini adalah undang-undang dan undang-undang menyatakan jika seseorang mengambil wang atau mencuri wang dia akan di dakwa di mahkamah sama ada mahkamah bersetuju atau tidak itu adalah perkara yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pengurusan Bencana ASEAN kali keenam di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas luahan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Instagram susulan penahanan ibunya semalam.
Nooryana Najwa akui terlalu sedih untuk menangis dan terlalu marah untuk menjerit selepas mengetahui ibunya ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3.20 petang semalam selepas lima jam memberi keterangan.
Rosmah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi untuk beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Dalam pada itu, Najwa menyifatkan tindakan penahanan ke atas ibunya itu melampau selepas rumah neneknya diserbu, dua minggu lalu.
Sementara itu, Najib turut dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan dibawah Anti Money Laundering Act (AMLA) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. – K! ONLINE











