Dagestan terkenal dengan sukan tinju - Utusan Malaysia

Dagestan terkenal dengan sukan tinju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBIL mata merenung antara satu sama lain, tangan dan kaki kedua-dua remaja lelaki itu pantas bertindak menahan diri daripada dijatuhkan pihak lawan.

Menggayakan singlet rona ceria, kedua-dua atlet tinju tersebut tidak bersendirian ketika menjalani latihan.

Bertempat di sebuah studio berkeluasan sederhana, terdapat ramai lagi rakan petinju daripada pelbagai peringkat umur yang turut sama mengasah kemahiran mereka.

Itulah suasana yang dapat dilihat pada setiap hari di Kayakent, sebuah pusat latihan sukan tinju yang cukup terkenal di Republik Dagestan iaitu sebuah negara di bawah pimpinan kerajaan Rusia.

Meskipun kelihatan uzur dengan warna cat dinding yang mulai tanggal dan kusam, Kayakent cukup popular terutamanya dalam kalangan kanak-kanak tempatan.

Kebanyakan mereka berasal daripada latar belakang yang kurang bernasib baik, hadir ke pusat tersebut dengan harapan dapat mengulangi kejayaan petinju senior pernah membawa pulang kejuaraan dunia ke daerah tersebut.

Di Dagestan, atlet tinju yang berjaya akan disanjung sebagai ikon oleh semua penduduk.

Salah seorang ikon yang berjaya dilahirkan di daerah tersebut ialah juara Ultimate Fighting Championship (UFC) tahun lalu, Khabib Nurmagomedov.

Menjadi rakyat Rusia dan warga Muslim pertama menjuarai pertandingan tinju berprestij itu, kepulangan Khabib ke Dagestan pada tahun lalu disambut dengan penuh meriah.

Lebih 2,000 orang penduduk Dagestan sanggup berkumpul di lapangan terbang menanti kepulangan sang juara, sehinggakan Khabib perlu diiringi menaiki kereta polis ke kediamannya bagi mengelak insiden tidak diingini.

Begitulah betapa sukan tinju dianggap sangat signatur di daerah tersebut.

Tidak dilahirkan di Dagestan, Khabib atau lebih dikenali sebagai The Eagle pada awalnya hanya dilatih oleh ayahnya sendiri.

Namun, menyedari kepentingan mendapatkan khidmat jurulatih profesional, Khabib dan keluarganya memilih untuk berpindah ke Makhachkala, sebuah bandar utama di Dagestan demi kepentingan kariernya.

Begitulah hebatnya reputasi Dagestan yang menjadikan tinju sebagai sukan nombor satu mereka berbanding bola sepak dan hoki yang lebih popular di kebanyakan wilayah di Rusia.

Populariti

Berlatarbelakangkan kawasan pergunungan sebagai antara lapangan latihan, kredibiliti atlet yang dilahirkan serta diasah bakat di Dagestan menjadikan ia sebagai lokasi ‘pengeluar’ juara tinju dunia dan Olimpik tidak dapat disangkal lagi.

Menurut jurulatih di Pusat Latihan Tinju Kayakent, Magomed Arangereyev, populariti petinju Dagestan di mata dunia bermula dengan minat penduduk terhadap sukan itu sendiri.

“Kayakent mula dibuka pada tahun 1996. Ketika itu, ia hanya dihadiri anak-anak kecil dari Dagestan yang sangat gemarkan sukan tinju. Pada awalnya, fasiliti Kayakent sangat teruk hinggakan kami tidak mampu menyediakan walaupun tikar tinju untuk berlatih.

“Kami membeli kelengkapan sedikit demi sedikit. Ada juga yang diperoleh melalui pusat sukan yang ditutup dan sebagainya.

“Hasilnya, selepas lima tahun, pelatih mula menjuarai kejohanan di Eropah seterusnya di peringkat dunia, sekali gus membuka mata banyak pihak,” katanya.

Menurutnya, kini terdapat lebih 60 orang remaja lelaki yang menjalani latihan tinju di pusat latihan tersebut pada satu-satu masa dan ia sama sekali telah melebihi kapasiti Kayakent.

Sementara itu, jurulatih Pusat Latihan Gamid Gamidov di Makhachkala, Gaidar Gaidarov berkata, antara sebab utama Dagestan berjaya melahirkan atlet tinju adalah kerana nilai sejarah dan warisan lokasi itu sendiri.

“Menurut sejarah, sukan tinju telah wujud sejak 100 tahun lalu dan ia dimainkan oleh pelbagai kumpulan etnik dari pelbagai negara. Menariknya, lokasi utama untuk ahli tinju berlatih dan mengadakan pertandingan ialah di Dagestan sendiri.

“Menurut orang terdahulu, Dagestan pernah menganjurkan pertandingan tinju di puncak sebuah pergunungan di sini. Justeru, saya percaya, antara faktor kemahsyurannya Dagestan pada hari ini ialah daerah ini cukup ‘subur’ untuk sukan tinju,” kongsinya.

Selain Khabib, antara atlet tinju yang memilih untuk berpindah ke Dagestan demi kerjaya termasuklah atlet Itali kelahiran Cuba, Frank Chamizo dan seorang lagi juara dunia serta atlet Perancis, Saifedine Alekma.

Ternyata, meskipun sering label sebagai wilayah paling berbahaya milik Rusia kerana didiami ramai puak pelampau Islam, ia tidak pernah menghalang lokasi itu daripada menjadi tumpuan peminat serta atlet sukan tinju. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN