KOTA BHARU 4 Okt. – Akibat cuba merasuah seorang anggota polis, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan tersebut yang dilakukan Ahad lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Shafein Abdullah, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Dia yang tidak bekerja didakwa secara rasuah telah menawarkan wang tunai RM200 terhadap Lans Koperal Zulfahmey Izzudin Gan Abdullah yang bertugas di Balai Polis Kubang Kerian, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kubang Kerian, kira-kira pukul 5 petang pada 30 September 2018.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan supaya dia tidak dikenakan tindakan bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu B2 dan tidak memakai topi keledar di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah 4 APJ 1959.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama dan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor.
Siti Syaerah memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman rendah terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dilakukannya.
Mengikut fakta kes, anggota polis tersebut dan rakan setugas, Koperal Syazwan Sulong membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Jalan Tok Kenali. Setibanya di hadapan stesen minyak Petronas di situ, mereka telah menahan tertuduh yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.
Tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu dan tidak memakai topi keledar kemudian menawarkan wang tunai RM200 kepada anggota polis berkenaan agar tidak diambil tindakan. – UTUSAN ONLINE











