Conte semakin hampir ganti Lopetegui - Utusan Malaysia

Conte semakin hampir ganti Lopetegui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 29 Okt. – Julen Lopetegui hanya menunggu masa untuk dipecat sebagai pengurus Real Madrid, yang sudah bersedia menggantikannya dengan Antonio Conte.

Juara Eropah itu dimalukan 5-1 oleh musuh ketat, Barcelona dalam saingan La Liga hari ini, yang menyaksikan Luis Suarez menjaringkan hatrik.

Menurut media Sepanyol, ahli lembaga Real mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan masa depan Lopetegui, yang gagal mempamer prestasi meyakinkan dan membawa Los Blancos menghuni tangga kesembilan La Liga ketika ini.

Sejurus tamat perlawanan di Camp Nou, kapten Real, Sergio Ramos seperti memberi ‘bayangan’ mengenai Lopetegui yang bagaikan menuju jalan keluar, selain menegaskan pasukannya kini dalam keadaan tertekan.

“Saya tidak boleh menilai setiap pemain dalam bilik persalinan. Mungkin ada pemain yang menyukainya (Lopetegui) atau mungkin ada yang tidak suka tetapi kami kena menghormati keputusan yang dibuat oleh orang di atas,” katanya yang dipetik oleh Marca.

Lopetegui, 52, mengambil alih Real daripada Zinedine Zidane pada awal musim ini, dan di bawah bimbingan bekas pengurus Sepanyol serta Porto itu Los Blancos tewas empat kali daripada 10 perlawanan musim ini.

Conte, 49, yang memiliki reputasi besar sebagai bekas pengurus Itali, Juventus dan Chelsea dianggap calon pilihan untuk mengembalikan Real ke landasan terbaik.

Jurulatih kelahiran Itali itu tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak dipecat oleh Chelsea pada Julai lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN