Cinta dan impian Misha Omar - Utusan Malaysia

Cinta dan impian Misha Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMIHA OMAR atau lebih senang disapa Misha Omar merentasi perjalanan seni berbekalkan vokal emasnya serta personaliti yang disenangi ramai. Sudah lebih 16 tahun Misha memahat nama dalam industri hiburan dan sehingga saat ini, namanya masih kukuh di persada.

Kepada Misha, biarlah dia menjadi diri sendiri, tidak perlu berlagak diva, sombong atau terlalu berbangga dengan status sebagai orang ternama kerana pada akhirnya nanti, yang akan dikenang orang hanyalah kesederhanaan keperibadian.

Sesudah memegang status sebagai artis popular selama 16 tahun, sebetulnya pelbagai hal melibatkan impian masa depan sering bermain di dalam kotak fikirannya.

Mencerna ceritanya, banyak perkara yang mungkin tidak terfikir oleh kita. Melihat seorang bintang yang kelihatan tenang di atas pentas tanpa kita sedari dia menyimpan seribu satu cerita.

 

Pernah terlintas di benak fikirannya, lebih baik dia menamatkan sahaja karier sebagai anak seni. Segala-gala yang dikecapi selama ini mungkin sudah cukup untuk memuaskan hatinya sebagai seorang penyanyi.

“Selepas bersalin, saya beri fokus kepada anak. Ketika itu saya terfikir, adakah ini satu isyarat Tuhan supaya saya berhenti sahaja menyanyi? Adakah saya perlu tamatkan kerjaya saya?

“Sepanjang proses mengandung, saya memang jarang menerima tawaran persembahan. Sejujurnya, memang rindu, tetapi melihatkan anak saya yang lahir pramatang ketika itu, saya ralat,” katanya memulakan bicara dalam sesi fotografi dengan Mega HITS.

Persoalan demi persoalan mula membelenggu minda ibu kepada tiga orang anak ini termasuk dua anak angkat yang dibesarkan dengan kudratnya. Kerap kali dia bertanya terus kepada Tuhan, benarkah ini satu isyarat atau sekadar ujian?

Namun dia sedar, jawapan tidak akan hadir mengetuk pintu minda serta-merta. Dia bulatkan hati dan bersabar. Ketika itu, anak menjadi juara carta hidup. Perkara lain jatuh di tangga kedua.

“Tahun lepas saya memang agak menyepi daripada industri. Fokus saya anak yang lahir pramatang, Muhammad Idris Ezzwa. Saya banyak berdialog dengan diri sendiri ketika itu,” katanya menyambung cerita.

Namun langkah majunya sekali lagi mendepani cabaran. Sedar, kudrat dan stamina sudah tidak sehebat dulu, Misha mempersiap dirinya dengan segala-gala perisai untuk terus kekal relevan.

Malah tampil dengan single baharu, Sampai Bila yang mendapat sambutan cukup hebat, Misha sedar peminat setia menyokongnya dan pastinya sebagai balasan, dia perlu buat yang terbaik.

“Saya masuk kelas vokal dengan Datuk Syafinaz Selamat dan ambil jurulatih untuk kuruskan badan serta tingkat stamina. Saya tak mahu masuk dalam industri dengan tangan kosong,” kata Misha bercerita penuh semangat mengenai motivasinya.

Diaju soalan, untuk apa seorang penyanyi hebat seperti Misha Omar belajar vokal? Bukankah dia sudah berjaya merangkul bukan satu tetapi tiga trofi vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-18, 19 serta Anugerah Industri Muzik ke-22.

“Bila kita melepasi satu fasa dalam industri, kita melihat karya dan kualiti persembahan. Kita mahu menyanyi sehingga hati setiap yang dengar merasai yang kita rasa.

“Kerja kita pada hari ini akan dibawa ke tahun-tahun berikutnya, Peminat akan terus mengadili bakat kita sepanjang kita bergelar anak seni. Ilmu itu akan dibawa sampai bila-bila,” ujar isteri kepada juruterbang Firos Ezzwan Rossly ini lagi.

Impian besar ada konsert

Pastinya sebagai seorang penyanyi, mungkin tidak lengkap diari seninya jika belum pernah berpeluang mengadakan sebuah konsert berskala besar. Itu juga adalah impian besar Misha.

Setiap kali melangkah ke Istana Budaya atau Dewan Filharmonik Petronas, hatinya sering berdoa supaya diberi kesempatan untuk beraksi di pentas berprestij itu.

Sedar untuk mengadakan konsert berskala besar, usaha tidak hanya datang daripada dirinya. Kudrat satu pasukan merangkumi pelbagai bahagian perlu disertakan demi sebuah konsert yang baik.

“Hendak buat konsert, kita perlukan wang ringgit. Tapi saya percaya kepada rezeki. Tidak lambat sesaat dan tidak cepat sesaat. Kalau diizinkan, memang saya bersyukur sangat.

“Tapi saya tak mahu terlalu berharap, nanti kecewa. Walaupun kecewa itu boleh kita ubah jadi positif tapi saya lebih suka percaya ada rezeki untuk saya suatu hari nanti,” kata Misha menyambung perbualan. 

Ditanya apakah itu adalah tanda aras seseorang penyanyi selain populariti, Misha hanya tersenyum sendiri. Konsert adalah satu portfolio terbaik untuk penyanyi, namun populariti bukan lagi yang dikejar.

“Kalau tanya penyanyi hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah dan Liza Hanim, mereka tidak lagi mengejar status populariti. Bakat mereka yang kekal relevan sehingga sekarang.

“Tapi saya akui, ada ketikanya kita semua akan penat. Ramai penyanyi hebat mengakuinya. Kita penat apabila dibanding-bandingkan dan kita penat apabila usaha tidak diterima.

“Tapi akhirnya kita fikir, ini tanggungjawab sebagai anak seni. Kenali diri sendiri dan guna kelebihan yang diberi Tuhan. Kuatkan semangat dan percaya dengan rezeki-Nya,” Misha berkongsi pandangan.

Bahagia peluk kasih sayang

Mengajak bercerita mengenai keluarga tercinta, relung mata anak kelahiran Kelantan ini terus bersinar. Mengakui sedang bahagia dipeluk kasih dan sayang suami serta anak-anak tercinta, Misha bersyukur dengan apa adanya.

Malah bercerita tentang pengalaman pertama menghantar anaknya, Adam menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia berdebar hingga ketar lutut kerana gementar.

“Sebagai ibu, pastinya saya mengharap yang terbaik untuk anak-anak. Pada masa yang sama, saya tak mahu memberi tekanan kepada mereka. Pengalaman pertama saya hantar anak UPSR, memang takut sangat.

“Mungkin bagi ibu bapa lain itu normal, tapi tidak bagi saya. Saya tunggu Adam hingga habis jawab soalan, jaga dia dan pastikan dia tidak tertekan. Macam saya pula nak duduki peperiksaan,” kata penyanyi yang mula diperkenal dalam industri muzik menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta ciptaan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan ini lagi.

Ditanya, adakah dia berhasrat untuk menimang seorang lagi cahaya mata, Misha terus ketawa besar. Tidak menolak rezeki dan sudah bersedia, itu jawapan yang terpacul dari mulutnya.

“Sebenarnya, ini adalah waktu terbaik untuk tambah ahli keluarga tapi sambutan lagu Sampai Bila meledak-ledak. 

“Saya sangat suka saat-saat ketika mengandungkan Idris. Kalau ada rezeki apa salahnya,” katanya tanpa berselindung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN