Cheng Hoe tidak sisihkan Safawi - Utusan Malaysia

Cheng Hoe tidak sisihkan Safawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN penyerang sensasi skuad kebangsaan, Safawi Rasid tidak berada dalam senarai pemain pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka dan Republik ­Kyrgyzstan, namun pemain itu masih berada dalam perancangan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 bermula 8 November hingga 15 Di­sember depan.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diketepikan daripada senarai 24 pemain sebagai persediaan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mencari ramuan terbaik dalam tempoh berbaki kurang sebulan.

Safawi sebelum ini tidak terkecuali dalam senarai skuad kebangsaan, namun kali ini diketepikan apabila hanya tiga pemain JDT dipanggil iaitu Ha­ziq Nadzli, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba.

Cheng Hoe menegaskan, pemain berusia 21 tahun itu masih dalam perancangan bagi mengharungi kempen Piala AFF Suzuki Disember depan, namun beliau memilih untuk melihat corak permainan pemain lain.

“Safawi masih dalam perancangan untuk Piala AFF nanti tetapi kali ini kami mahu melihat pemain-pemain lain beraksi.

“Bagi aksi persahabatan kali ini, saya ingin memberikan peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan kemampuan ma­sing-masing,” katanya.

Sebelum berlepas ke Colombo untuk aksi persahabatan pertama, Cheng Hoe mengambil keputusan memanggil Nik Akif Syahiran Nik Mat dari Kelantan untuk melengkapkan senarai 22 pemain selepas bekas pengendali Kedah itu menggugurkan tiga pemain yang cedera iaitu Ra­wilson Batuil, Nor Hakim Hassan dan Akram Mahinan.

Skuad kebangsaan akan menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka esok sebagai persiapan mengharungi Piala AFF Suzuki apabila mereka diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Anak-anak buah Cheng Hoe bakal berdepan satu lagi aksi persahabatan menjelang sepak mula Piala AFF Suzuki 2018 pada 8 November iaitu bertemu Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN