PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) memberi pelepasan kepada pemain lincah, Mohamadou Sumareh untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara yang bermula semalam.
Pada sesi latihan sebelah petang di Stadium Hang Tuah, Melaka, kelibat pemain berusia 27 tahun tersebut masih belum kelihatan bersama 23 pemain yang telah disenaraikan.
Cheng Hoe berkata, pihak pengurusan badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada pasukan yang diwakilinya itu agar dia dapat menyertai skuad negara.
“Kita berharap Pahang FA memberi kelulusan. Selepas dia hadir dalam kem nanti, maka kita akan dapat mengujinya dan berharap Sumareh dapat pamerkan aksi terbaik selain menyesuaikan corak permainan dengan pemain tempatan.
“Setakat ini, mengikut perancangan, Sumareh kemungkinan akan bermain di posisi asalnya tetapi kita kena tunggu dia melaporkan diri dengan pasukan kebangsaan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Hang Tuah, Melaka semalam.
Cheng Hoe memberitahu, beliau akan menilai prestasi keseluruhan permainan sebelum mendapatkan bayangan bagi membentuk skuad negara, manakala senarai akhir 23 pemain hanya akan diketahui selepas aksi persahabatan menentang Republik Kyrgyzstan.
Katanya, beliau juga masih menunggu pemain yang diperlukan hingga tamat perlawanan akhir Piala Malaysia dan berharap tiada masalah kecederaan yang boleh menjejaskan persiapan skuad kebangsaan.
“Setakat ini kita telah daftarkan 50 pemain untuk Piala Suzuki AFF 2018, namun hanya 23 pemain terbaik akan dipilih menerusi aksi persahabatan,” katanya.











