PORT DICKSON 4 Okt. – Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Kan Chee Yuen membeli sebanyak 1,000 batang pen semasa berkempen di Lukut di sini, hari ini.
Katanya, kira-kira RM2,000 dibelanjakan bagi membeli pelbagai jenis pen di 12 kedai runcit.
Beliau menjelaskan, pembelian itu adalah sempena simbol pen yang digunakannya dalam PRK tersebut.
“Saya boleh beli pen di Kuala Lumpur dengan harga yang lebih rendah, tetapi saya memilih untuk membeli dari kedai-kedai runcit di Port Dickson. Langkah ini juga sebagai usaha saya memperkasakan ekonomi Port Dickson,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, lambang pen dipilih kerana ia mencerminkan kekayaan, intelek, integriti, dedikasi, pengetahuan dan profesionalisme. – UTUSAN ONLINE











