Cara mudah cetak dokumen tanpa dibatasi waktu - Utusan Malaysia

Cara mudah cetak dokumen tanpa dibatasi waktu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Detik demi detik dinantikan dengan penuh sabar oleh Muhd. Amirul Iman Zalzilah Rashidi, 21.

Hasrat pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaya itu tidak lain tidak bukan adalah mencetak dokumen kertas manual makmal di salah sebuah kedai percetakan di Petaling Jaya, Selangor.

Acap kali anak kelima daripada lapan adik-beradik itu memerhatikan jarum jam tangan yang dililit kemas pada pergelangan tangan kirinya untuk melihat berapa lama masa telah berlalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selang 15 minit kemudian, pemuda kelahiran Rawang, Selangor itu masih lagi ‘terpacak’ dalam barisan sama dan tidak berganjak walaupun selangkah.

Lebih menyakitkan hati, terdapat individu lain yang bertindak biadab dengan memotong barisan hadapan, sekali gus membuatkan Muhd. Amirul Iman tawar hati untuk meneruskan agenda utamanya.

“Ketika itu, saya memang berasa sakit hati, sekali gus terfikir untuk meninggalkan kedai tersebut, namun dokumen ini perlu dicetak kerana ia sangat penting.

“Mujur selepas itu, seorang rakan memperkenalkan kepada saya mengenai platform percetakan secara online iaitu Sprintla.

“Selepas mendaftar dan menggunakan platform tersebut dari kolej, saya boleh terus mengambilnya setelah selesai dicetak di kedai percetakan terpilih mengikut masa yang saya dikehendaki,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Muhd. Amirul Iman teruja menggunakan platform tersebut kerana ia bukan sahaja memudahkan urusan pencetakan tetapi menjimatkan masa.

Selain itu, dia juga amat berpuas hati dengan fleksibiliti dari segi masa yang ditawarkan perkhidmatan tersebut.

Hal ini kerana dia boleh mencetak apa sahaja dokumen dari pelbagai lokasi tanpa dibatasi oleh waktu.

Difahamkan, nama Sprintla itu membawa maksud menjadi lebih pantas selain digabungkan slanga tipikal rakyat Malaysia iaitu la.

Konsep

Sprintla dibangunkan oleh Justin Wong, 23, dan Thony Way, 22, bersama pensyarah mereka iaitu Aaron Pook pada tahun 2016.

Konsep aplikasi yang didukung Sprintla ialah membenarkan proses pencetakan dari mana-mana pada bila-bila masa.

Setelah dokumen itu dimuat naik secara online untuk dicetak, pengguna akan mengambil dokumen tersebut di destinasi rakan niaga percetakan terpilih.

Menurut Justin, idea untuk membangunkan konsep itu muncul setelah melihat kekurangan pada masalah yang dihadapi oleh kebanyakan pusat percetakan.

Antara masalah yang dihadapi ialah kekurangan sumber manusia, dipenuhi ramai pelanggan, perlu beratur mengambil giliran yang panjang serta ketelusan harga yang ditawarkan.

“Semasa kami masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), pensyarah kami memberikan tugasan kursus berkaitan keusahawanan siber.

“Ketika mahu mencetak tugasan itu, ia mengambil masa sehingga 30 minit untuk beberapa helaian kertas sahaja.

“Bertitik tolak daripada pengalaman itu, kami membentangkan idea tugasan keusahawanan siber berkaitan percetakan digital dan mendapat sokongan Pusat Keusahawanan MMU, sekali gus menjadikan idea itu suatu realiti,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Setelah melihat potensi modul perniagaan Sprintla, Aaron menawarkan diri sebagai mentor kepada anak didiknya dan menjadi sebahagian daripada pasukan itu.

Sejak itu, ketiga-tiga mereka mengukuhkan platform tersebut sehingga prototaip aplikasi berkenaan berjaya dibina pada penghujung tahun 2016.

Disebabkan terdapat limitasi dari segi modal, masa dan ilmu berkaitan percetakan serta keusahawanan, mereka kerap menyertai pertandingan dan pameran bukan sahaja peringkat tempatan tetapi antarabangsa.

Maklum balas

Justin menambah, dengan cara itu, mereka dapat bertukar pandangan dan membina perspektif baharu dalam bidang percetakan digital.

“Menariknya, bukan industri percetakan tanah air sahaja yang menghadapi masalah tersebut tetapi negara luar juga berhadapan isu sama.

“Justeru, kami mengumpulkan maklum balas daripada peserta pertandingan luar negara seperti China, Indonesia dan Jepun agar dapat menyelesaikan masalah-masalah itu kelak,” jelasnya yang mendapat dana daripada usahawan teknologi tempatan, Ganesh Kumar Bangah pada tahun 2017.

Sehingga kini, Sprintla terdapat di lebih 30 kedai dan kiosk rakan niaga percetakan di seluruh lokasi sekitar Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Selangor.

Ia juga terdapat di pelbagai institusi pengajian awam dan swasta seperti Universiti Malaya, Universiti UCSI, SEGi Damansara dan MMU.

Sejak mula diperkenalkan, Sprintla telah berurusan dengan kira-kira 3,500 pengguna.

Thony selaku Ketua Pegawai Pemasaran Sprintla pula berkata, pengguna yang ingin mencetak sesuatu menerusi Sprintla perlu mendaftarkan diri dalam laman web www.sprintla.com terlebih dahulu.

“Setelah memuat naik dokumen dalam format PDF, PowerPoint, Word Doc atau Jpeg, pengguna boleh memilih keutamaan percetakan seperti jumlah, slaid per muka, lapisan plastik atau perkhidmatan sisiran.

“Setelah semua maklumat itu ditetapkan, pengguna boleh memilih lokasi rakan niaga percetakan yang diingini untuk mengambil dokumen tersebut.

“Kemudian, pengguna perlu membayar perkhidmatan itu menerusi sistem pembayaran iPay88 berasaskan isian semula daripada pelbagai bank utama, PayPal, kad kredit mahupun e-Dompet,” ujarnya yang turut membangunkan aplikasi mudah alih menerusi telefon pintar.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan Sprintla ialah lapisan plastik, jilid sisir, sisir pita dan perlaminaan.

Selain saiz kertas A4, pengguna juga boleh memilih jenis kertas A3 sama ada warna hitam mahupun berwarna.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan sesuatu rakan niaga pusat percetakan itu.

Dari segi harga pula, ia tertakluk kepada harga yang ditawarkan rakan niaga percetakan yang bermula sekitar lima sen sehingga 20 sen untuk pencetakan hitam dan putih.

Bagi pencetakan berwarna pula, ia dianggarkan sekitar 50 sen ke RM1.50.

Thony berharap, perkhidmatan yang ditawarkan Sprintla dapat mengisi kekurangan dalam industri percetakan, sekali gus menjadi penanda aras bagi segmen percetakan digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini