SABAK BERNAM – Seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di daerah ini maut selepas motosikal diboncengnya terbabas lalu digilis sebuah bas dalam kemalangan di Kilometer 69 Jalan Teluk Intan-Klang dekat Tali Air 8 Sekinchan, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang, Maizatul Maiza Mohd. Jalil, 17, beralamat Taman Cahaya Sungai Besar itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar dan merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintenden Lim Chee Khoon, berkata, kemalangan dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Sekinchan dari Sungai Besar.
Tambah beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, rakan mangsa yang menunggang motosikal itu telah mengubah haluan daripada lorong kiri ke kanan berikutan penutupan jalan atas tujuan menaik taraf jalan.
“Bagaimanapun, tindakan itu mengakibatkan motosikal itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terjatuh selepas mengubah haluan.
“Sebuah bas dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum mengilis mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal yang berusia 17 tahun cedera ringan serta pemandu bas berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar Chee Koon, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










