PORT DICKSON – Salah seorang calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson membeli sebanyak 1,000 pen yang dijual di kedai-kedai runcit semasa berkempen di Lukut dekat sini semalam.
Calon Bebas, Kan Chee Yuen berkata, beliau membelanjakan kira-kira RM2,000 membeli pelbagai jenis pen di lebih 12 kedai runcit di Lukut sebagai simbolik kepada lambang Pen yang digunakan beliau dalam PRK Port Dickson.
“Saya boleh membeli pen di Kuala Lumpur dengan harga yang lebih rendah, tetapi saya memilih untuk membeli dari kedai-kedai runcit di Port Dickson.
“Pen ini akan diagihkan kepada orang ramai semasa berkempen. Langkah ini juga sebagai simbol saya untuk memperkasakan ekonomi Port Dickson,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Chee Yuen berkata, beliau akan membeli lagi pen di Port Dickson selepas 1,000 pen yang dibelinya semalam habis diedarkan kepada pengundi di daerah ini.
Dalam pada itu, katanya, beliau memilih lambang pen dalam PRK Port Dickson kerana ia mencerminkan kekayaan, intelek, integriti, dedikasi, pengetahuan dan profesionalisme. – K! ONLINE











