ALOR SETAR – Seorang lelaki dan isterinya yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keempat dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Pekan Sik dekat sini semalam.
Pasangan suami isteri berusia 45 dan 31 tahun yang disyaki penagih dadah tegar itu ditahan dalam satu operasi khas hasil maklumat orang awam.
Ketua AADK Daerah Sik, Roslin Baharom berkata, operasi tersebut dijalankan setelah mendapat aduan orang awam yang sering melihat pasangan tersebut bersama seorang anak berusia empat tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Pemantauan yang dilakukan berjaya menahan pasangan suami isteri itu dan anak mereka berusia empat tahun di Pekan Sik hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan tersebut positif dadah jenis opiat dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.
“Siasatan mendapati mereka hidup berpindah-randah dan terlibat dengan penagihan dadah sejak beberapa tahun lalu, namun tidak mempunyai rekod tangkapan,” ujarnya.
Menurut Roslin, suspek lelaki bekerja sebagai buruh dan mempunyai empat orang anak berusia sembilan, enam, empat dan bayi berusia 34 hari.
“Anak sulung dan kedua dijaga ibu suspek perempuan di Kuala Pegang, Baling dekat sini manakala bayi berusia 34 hari kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kerana mengalami komplikasi akibat penagihan dadah oleh ibunya,” katanya. – K! ONLINE










