MUKADIMAH: “Kalau saya menang, saya pun jadi Perdana Menteri,” seloroh calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Pelbagai spekulasi timbul setelah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu nekad meninggalkan UMNO baru-baru ini semata-mata untuk bertanding menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti penjelasan beliau kepada wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan HARADIAN SHAH HAMDAN di Port Dickson, semalam.

UTUSAN: Tan Sri masuk ke gelanggang dengan rekod pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidakkah ini akan menggugat peluang Tan Sri?
MOHD. ISA: Semasa PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dulu, ada isu penggantungan saya. Sekarang isu SPRM pula. Kes tanah Felda Jalan Semarak tak ada kes. Bagi pembelian hotel di London dan Kuching yang saya direman pun tak ada tindakan. Kalau ada mesti saya didakwa. Setakat ini akaun saya tak dibeku, pasport juga tak disekat, saya masih boleh ke luar negara. Bagi saya, pengundi boleh nilai perkara itu.
Keputusan Tan Sri meninggalkan UMNO agak mengejutkan kerana Tan Sri dikenali sebagai seorang yang setia kepada parti. Kenapa secara tiba-tiba keluar UMNO?
UMNO tak mahu letakkan calon, bagi saya itu silap. Sepatutnya kena letak. Kalau bukan saya pun tak apa. Ini peluang kita bangkitkan isu dan kelemahan kerajaan. Kebetulan PRK diadakan semasa Perhimpunan Agung UMNO. Sepatutnya selepas persidangan, ramai-ramai turun ke Port Dickson dengan semangat tinggi.
Tetapi UMNO tarik diri sebab tak setuju dengan cara kerusi itu dikosongkan. Sepatutnya kita kena lawan. Buat kursus di Janda Baik cakap berapi-api di luar gelanggang, dalam gelanggang lembik pula. Saya bertanding sebab ini Port Dickson, takkan nak beri orang luar. Untuk elak saya dipecat, saya berhentilah.
Walaupun Tan Sri memberi alasan mempunyai ramai penyokong di kawasan Parlimen ini, ia masih belum mampu menutup spekulasi ada agenda di sebalik penyertaan Tan Sri.
Agenda apa? Saya tak ada agenda lain, saya cuma nak jadi wakil rakyat. Ketika saya pimpin UMNO di sini kita cuba minta peluang bertanding di Telok Kemang, sekarang dikenali sebagai Port Dickson. Bila ada peluang saya ambil. Pada PRU lepas pun kita cuba juga tetapi formula pucuk pimpinan (letak calon MIC) tak menjadi. Kalau kata saya gila nak bertanding, ini pilihan raya saya ke-10, apa lagi nak. Saya betul-betul nak berkhidmat untuk orang Port Dickson.
Bagaimana hubungan Tan Sri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Saya tak pernah berhubung dengan dia. Sebelum dipecat memang ada. Sudah lama. Penamaan calon PRK Port Dickson Sabtu lalu adalah kali pertama saya bertemu Anwar sejak 1998, sudah 20 tahun.
Bagaimana pula hubungan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana Tan Sri satu ketika dahulu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan melalui pelantikan oleh beliau?
Saya jumpa beliau semasa saya jadi Pengerusi Felda. Ketika nak senaraikan Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia, saya jumpa Tun untuk dapatkan pandangan. Yang kedua, kita jemput beliau untuk satu program ceramah sempena Hari Kebangsaan. Lepas itu saya tak jumpa sampai sekarang. Saya tak ada sebab nak jumpa Dr. Mahathir.











