KULIM 23 Okt. – Seramai 15 ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kulim mengambil inisiatif bagi memperelokkan keadaan rumah seorang warga emas di Kampung Ulu Mahang, dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Penyelarasnya, Azim Aziz berkata, program tersebut diharap mampu membantu warga emas itu, Hamidah Ibrahim, 67, untuk menjalani kehidupan dalam keadaan lebih selesa.
“Antara kerja yang dijalankan di situ adalah membaik pulih rumah, mengemas, mengecat dan menghias kawasan laman.
“Ini merupakan tanggungjawab kami kepada ADTEC Kulim sebagai insitusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap keperluan komuniti setempat. Selain itu program ini juga diharap mampu mewujudkan rasa kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan ahli BSMM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kesemua tugas-tugas itu dilaksanakan bermula pada pukul 8 pagi hingga 7.30 malam.
Mengulas lanjut katanya, sebelum ini beberapa lagi program seumpamanya telah dilaksanaka termasuk melibatkan rumah-rumah ibadat seperti surau dan masjid.
“Kami yakin perkara sebegini mampu mendatangkan kesan positif kepada anak-anak muda terutamanya untuk menanam jati diri positif dalam diri masing-masing,” katanya.











