SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor tidak menghalang penganjuran Oktoberfest selagi ia mematuhi syarat-syarat penganjuran yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, dasar berkenaan telah diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mensensasikan program berkenaan.
Beliau turut menepis kenyataan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang kegiatan atau penganjuran program yang dilihat tidak mempunyai nilai moral, termasuklah penganjuran pesta arak.
“Saya ingin nyatakan kenyataan Datuk Rashid berkenaan pesta arak tidak benar.
“Datuk Rashid adalah Exco baru dan belum sampai lima bulan.
“Beliau tidak mengetahui dasar dan pendirian kerajaan mengenai isu ini. Isu ni telah ditetapkan sebelum PRU lagi jadi adalah tidak wajar untuk membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak benarkan ‘octoberfest’ dan ia satu kenyataan yang salah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini Abdul Rashid berkata, Kerajaan Selangor tidak meluluskan sebarang kegiatan atau penganjuran program yang dilihat tidak mempunyai nilai moral, termasuklah penganjuran pesta arak.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk membenarkan mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak atau ‘Oktoberfest’ di negeri ini.
Chang Khim yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata, pendirian Rashid bahawa Oktoberfest ini adalah program yang tidak bermoral adalah pendapat peribadinya sendiri.
Katanya, Malaysia adalah satu negara yang berbilang kaum dan budaya, adalah sepatutnya semua pihak menghormati budaya semua kaum.
“Pesta ini terhad kepada orang bukan Islam dan adalah jelas bahawa orang Islam tidak dibenarkan hadir program ini maka tidak perlu disensasikan.
“Tidak semuanya mabuk dan saya sendiri juga telah beberapa kali menghadiri sambutan (Oktoberfest). Ia bukan pesta arak semata-mata ada disediakan makanan juga. Ia tidak salah selagi mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Ditanya mengenai permit penganjuran ‘Oktoberfest’, beliau berkata, ia adalah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mengenai permit, kerajaan negeri tidak ada kuasa, kena tanya PBT. Mereka yang berkuasa meluluskan sekiranya mengikuti syarat yang ditetapkan,” ujarnya. – K! ONLINE










