Bocey tidak idam kejuaraan MLM - Utusan Malaysia

Bocey tidak idam kejuaraan MLM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS dua kali menjuarai program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018), ada yang melihat penyertaan kumpulan Bocey untuk tahun ini seperti menipiskan peluang kemenangan buat 12 lagi peserta lain dalam program itu.

Menafikan cuba menutup pintu rezeki peserta lain, bagi kumpulan pelawak popular yang dianggotai Abam, Achey dan Fad ini, penyertaan mereka mempunyai sebab tersendiri.

Menolak faktor wang kemenangan mahupun sekadar suka-suka, ternyata pentas MLM adalah lokasi sesuai untuk mereka memastikan lawak Bocey terus relevan.

Menurut Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, dia tidak melihat kemunculan mereka di pentas MLM 2018 sebagai cara untuk mengekalkan kejuaraan semata-mata, sebaliknya platform terbaik untuk memperkukuh bakat sebagai pelawak.

“Penyertaan ini bukan suka-suka atau nak menang dan kekalkan gelaran juara. Pentas ini lebih daripada itu.

“Sebenarnya program seperti ini memberi peluang untuk kami terus belajar perkara baharu mengenai lawak jenaka, bukan sekadar merebut hadiah kemenangan sahaja,” jelasnya.

Menolak dakwaan yang kemunculan mereka seolah-olah menutup periuk nasi peserta lain, bagi Abam, seperti juga peserta lain, mereka turut berhadapan dengan tekanan dalam cuba menyampaikan sesuatu yang berkualiti untuk penonton.

“Kemenangan lalu tidak memberi sebab untuk Bocey berasa selesa sepanjang masa. Kami juga perlu berusaha sebaik mungkin dalam memenangi hati penonton.

“Sejujurnya sehingga saat ini, Bocey tidak pernah rasa yang kami sudah terlalu bagus dalam bidang ini. Sebab sama seperti orang lain kami masih lagi dalam proses pembelajaran. MLM adalah pentas sesuai dan terbaik untuk kami menimba pengalaman,” katanya.

Lawak lebih matang

Menjadikan lapangan ini sebagai punca rezeki utama sejak lima tahun lalu, ada sisi yang lebih matang untuk Bocey dalam mewarnai pentas MLM 2018 kali ini.

Kongsi Abam, kali ini tiada lagi lawak yang mengusik perihal bentuk fizikal.

“Sudah sampai waktunya lawak yang kami ditampilkan lebih matang sesuai dengan usia Bocey itu sendiri. Sebab kami lihat ini adalah fasa yang sesuai untuk kami berubah.

“Antara perubahan yang akan kami bawa adalah untuk tidak lagi menggunakan lawak ke atas fizikal masing-masing lagi.

“Selepas ini, kami akan selitkan mesej positif dalam setiap penyampaian. Dalam berhibur adalah lebih baik andai kita juga dapat pengajaran,” katanya lagi.

Tidak melihat kelebihan sebagai juara membolehkan mereka untuk bersenang-senang, tambah Abam, sebaliknya menjadi suatu tekanan untuk mereka bagi memastikan sketsa yang akan disampaikan kelak adalah sesuatu yang segar dan baharu.

“Kalau kita lihat bagi mereka yang baru sertai MLM, penonton masih tidak tahu apa yang boleh dibawa, berbeza dengan kami yang perlu tampilkan kelainan kerana orang sudah tahu lawak kami jadi ada tekanan di situ.

“Kali ini kami perlu bekerja lebih keras untuk menghasilkan lawak yang jauh lebih baik dari sebelum ini. Malah tidak mudah menjadi pemenang kerana orang sudah terbiasa melihat, mendengar bahan lawak dan cara kami sampaikan jenaka. Oleh itu, tidak mudah buat penonton ketawa.

“Kami tidak tahu ‘senjata’ peserta baharu. Mereka ada kelebihan kerana penonton akan tertarik dengan teknik lawak baharu. Sesiapa saja akan bosan kalau disajikan benda sama. Itu yang membuatkan kami perlu kerja keras,” kata Fad pula.

Selain Bocey, MLM 2018 turut disertai Abata, Joras, Kiut, Masin, Abioso, Zero, Chilok, Dany Beler, Hilmy Ashley, Taman, Shiro, Puteh dan 2B.

MLM 2018 akan bersiaran bermula 2 November ini pada pukul 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132).

Bocey tunggu lagu sesuai

Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat kumpulan lawak ini sedikit masa lagi turut memeriahkan industri nyanyian.

Selepas Achey dan Fad membuktikan kemampuan mereka untuk menyanyi dengan baik, memang ada yang mengharapkan Bocey muncul dengan buah tangan baharu tidak lama lagi.

“Ikutkan memang kami mahu keluarkan single Bocey. Memang sudah lama ada perancangan ini sebab kami tahu kemampuan masing-masing, malah antara ciri-ciri single kami juga akan bertemakan cinta.

“Bagaimanapun kekangan waktu selain masih belum berjumpa lagu yang sesuai membuatkan kami menangguhkan dahulu impian tersebut. Tetapi impian itu tetap akan terlaksana.

“Jika sudah sampai waktunya kelak kami akan keluarkan album kami,” kata Fad lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN