KOTA BHARU 18 Okt. – Bebanan Bibi Ramjani Ilias Khan sekalu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk memastikan The Red Warriors (TRW) mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka bersaing di Liga Malaysia (Liga M) semakin memuncak.
Semangat usahawan batik yang sedang bertungkus-lumus untuk mendapatkan lesen bagaikan direntap apabila ada dalam kalangan bebas pemain TRW mengemukakan saman terhadap badan induk itu selepas gagal melunaskan tunggakan hutang lama membabitkan soal gaji.
Saman tersebut menjadikan kantung kewangan Kafa semakin tenat untuk melunaskan hutang selain membuat persediaan mengharungi saingan Liga M 2019 nanti.
Membuatkan Bibi Ramjani menjadi lebih bingung, apabila pemain yang dua tahun tidak dibayar gaji secara tiba-tiba membuat laporan dan tuntutan berhubung perkara tersebut menyebabkan Kafa berada dalam keadaan tersepit.
“Kita hairan ada sebelum ini pemain dua tahun tidak bayar gaji namun tidak pernah membuat laporan, tetapi kini beria-ria mahu membuatnya.
“Ketika ini, Kafa sedaya upaya berusaha untuk mendapatkan lesen kalab namun pada masa yang sama perlu menyelesaikan hutang lapuk pemain seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.
Menurutnya, semakin Kafa berusaha membayar hutang bertimpa-timpa pula saman yang diterima daripada pemain.
Katanya, pemain seolah-olah tahun Kafa perlu melunaskan hutang mereka jika mahu mendapatkan lesen.
“Situasi itu menyebabkan Kafa berada dalam keadaan tersepit,” ujarnya.
Utusan Malaysia 14 Oktober lalu melaporkan, melaporkan, kebimbangan usahawan batek itu tampak berasas apabila Kafa berdepan dengan tunggakan hutang berjumlah RM500,000 yang perlu segera diselesaikan.
Hutang itu, melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).
Kesemua perkara itu perlu segera dilunaskan oleh Bibi Ramjani untuk memastikan Kelantan mendapat lesen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ia ditolak oleh badan induk. – UTUSAN ONLINE










