SUDAH biasa agaknya kita mendengar keluhan dan rungutan daripada kawan-kawan atau ahli keluarga sendiri yang malas pergi kerja. Terutamanya pada permulaan minggu. Sebabnya, sama ada malas yang bersifat sementara kerana baru habis bercuti atau memang dia benar-benar pemalas atau mungkin juga persekitaran kerja yang tidak menggembirakan.
Saya rasa semua setuju bahawa selain di rumah, tempat kerja sepatutnya menjadi tempat yang menggembirakan. Ini kerana kebanyakan masa seharian kita banyak dihabiskan bekerja bukan berada di rumah.
Jadi, mengapa ada yang tidak gembira di tempat kerja? Banyak sebab. Ia tidak sama dengan punca-punca tidak gembira melekat di rumah. Dan saya percaya, majikan atau ketua adalah antara yang menjadi penyebabnya, selain isu gaji.
Dan betulkah ramai yang berhenti kerja dalam sesebuah syarikat kerana majikan atau bos, bukan sangat pasal gaji? Saya rasa cakap-cakap seperti ini, perlu juga dibuat kajian kerana ia akan memberi input yang besar kepada sesebuah organisasi bagi mengelakkan berlakunya pekerja keluar masuk dalam masa yang singkat.
Beberapa hari lalu tular dalam media sosial, video seorang bos wanita menengking dan mengherdik dua pekerja, salah seorang daripadanya sarat mengandung. Mereka adalah pekerja sebuah syarikat telco terkemuka di negara ini.
Punca wanita itu mengamuk, tidaklah diketahui. Tetapi secara umumnya, pendekatan menjadi seorang ketua yang segarang seekor singa betina, memang tidak sesuai lagi. Ia lebih mencerminkan peribadi ketua itu saja, bukan kepimpinan.
Ini kerana, selain pekerja bawahan juga perlu dihormati, bekerja memerlukan suasana yang harmoni. Mana boleh bekerja dalam suasana yang tidak harmoni kerana ia boleh membuatkan semuanya bekerja dalam keadaan tertekan, semua mahu pulang cepat, dan akhirnya kerja dibuat dengan tidak sepenuh hati dan menjejaskan produktiviti.
Mengurus pekerja memerlukan skil. Bukan ikut emosi. Dan pada masa sama, ketua juga tidak boleh berlagak dia tahu semuanya dan sentiasa betul. Inilah yang sering berlaku.
Disebabkan, merasakan diri tahu semuanya, pekerja kurang berkomunikasi. Semua kerja dilakukan hanya ikut atau tunggu arahan. Tiada maklum balas untuk memberikan pendapat dan idea. Akhirnya, pekerja tidak merasa dirinya diperlukan, kreativitinya tersekat, tiada rasa kepuasan bekerja dan dia pun cari kerja lain.
Dan lebih buruk lagi, pekerja yang berhenti itu, seorang yang bagus dan berpotensi. Tetapi itulah, disebabkan keegoan seorang bos, yang merasakan dirinya serba boleh dan pandai berbanding orang lain, ramai yang angkat kaki.
Bekas Timbalan Presiden Sumber Manusia syarikat Google, Laszlo Bock, berkata, dalam isu kesetiaan pekerja untuk kekal di tempat kerja, banyak syarikat yang tidak tahu bagaimana untuk menangani masalah untuk mengekalkan pekerja mereka terutamanya pekerja yang berbakat.
Dan selalunya, bos yang tidak mempunyai skil dalam pengurusan dan bermasalah dengan pekerja bawahan ini tidaklah ramai, tetapi ia boleh saja membawa banyak masalah dalam sesebuah organisasi.
Samalah juga dengan pekerja yang bermasalah, jumlah mereka pun tidaklah ramai, tetapi boleh mendatangkan banyak juga masalah dan perlu diselesaikan sebelum menjadi satu isu besar kepada organisasi berkenaan.











