Bencana alam ranapkan Pulau Sulawesi - Utusan Malaysia

Bencana alam ranapkan Pulau Sulawesi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OPERASI bantuan dan menyelamat diteruskan di Indonesia selepas gempa bumi serta tsunami berlaku serentak di Pulau Sulawesi, Indonesia pada 28 September lalu.

Menurut Badan Kebangsaan Pengurusan Bencana Indonesia, jumlah mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang berlaku baru-baru ini telah meningkat kepada 1,571 orang.

Lebih 70,000 rumah musnah atau rosak teruk akibat gempa bumi dengan berkuatan 7.5 pada skala Richter yang melanda Pulau Sulawesi itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia juga mencatatkan gelombang setinggi enam meter pada kelajuan 800 kilometer sejam.

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, kira-kira 1,000 orang mungkin tertimbus di dalam lumpur ekoran gempa di beberapa wilayah di bandar Palu seperti Balaroa dan Petobo.

“Kawasan tersebut ditenggelami lumpur sedalam tiga meter.

“Operasi mencari dan menyelamat agak terbatas kerana tanah terlalu basah sehingga menyukarkan pergerakan anggota penyelamat,” katanya.

Setakat ini, 26 orang mangsa ditemui selamat di Petobo dan 48 orang lagi di Balaroa.

Ujar Sutopo, pihaknya akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat walaupun berhadapan pelbagai halangan.

Di Balaroa, kira-kira 1,7000 buah rumah ditelan bumi ekoran gempa bumi yang menyebabkan struktur tanah menjadi lemah.

Lebih 1,550 yang terkorban akibat gempa bumi dan tsunami itu. Seramai 34 orang daripadanya ialah kanak-kanak yang berada di khemah milik penganut Kristian.

Dalam pada itu, Pulau Sulawesi terus diancam bencana apabila Gunung Berapi Soputan yang terletak di daerah Minahasa Wilayah Sulawesi Utara meletus pada pukul 8.47 pagi waktu tempatan pada hari Rabu lalu.

Gunung itu memuntahkan abu gunung berapi setinggi 4,000 meter ke udara dan membentuk kepulan awan vulkanik yang bergerak menghala ke arah barat laut pulau tersebut.

Agensi bencana negeri memberi amaran kepada orang ramai untuk berada sekurang-kurangnya empat kilometer daripada letusan itu.

Keselamatan

Soputan berada 1,000 kilometer dari bandar Palu yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami.

Indonesia yang terletak dalam Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ia sering dilanda gempa bumi dan gunung berapi.

“Tentera telah diarahkan bertugas di stesen minyak, pasar, mesin pengeluaran wang dan lapangan terbang bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat berjalan seperti biasa.

“Ia akan memberi jaminan keselamatan kepada rakyat bagi mengelakkan kejadian rompakan,” kata Ketua Udara Marshall Hadi Tjahyanto.

Tambahnya, semua konvoi yang membawa bekalan bantuan akan diiringi oleh tentera bersenjata api.

Tindakan itu diambil berikutan penduduk dari wilayah yang terlibat bencana telah menceroboh kedai dan pasar raya untuk mendapat bekalan makanan dan lain-lain keperluan.

Akuinya, letusan Gunung Berapi Soputan telah memberi kesan kepada usaha menghantar bantuan apabila pesawat tidak boleh membuat penerbangan kerana abu yang tebal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini