KUALA LUMPUR 15 Okt. – Bekas wartawan Utusan Malaysia, Mahani Othman meninggal dunia ketika dalam tidur di sebuah hotel di Taiwan, semalam.
Menurut rakan-rakan terdekat, Allahyarham Mahani dilaporkan meninggal dunia ketika sedang bercuti bersama suami ke negara berkenaan.
Difahamkan, ketiga-tiga anak Allahyarham akan berlepas ke Taiwan hari ini bagi urusan membawa balik jenazah ibu mereka ke tanah air untuk dikebumikan di sini.
Mahani merupakan antara kakitangan akhbar tabloid, Bintang Timur yang diserap masuk ke Utusan Malaysia pada awal 1980-an.
Sepanjang berkhidmat di Utusan Malaysia, Allahyarham pernah bertugas di Meja Luar Negara, Meja Am, Mahkamah dan yang terakhir di Unit Pemprosesan. – UTUSAN ONLINE










