BAU – Seorang bekas tentera maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Bau-Kuching di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Zaidin Roseli, 55, menemui ajal di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang berasal dari Kampung Batu Kitang Jaya itu dikatakan sedang menunggang motosikal dari arah Bau menuju pusat bandar raya Kuching.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang cuba memotong sebuah lori di laluan sama gagal apabila mendapati terdapat kenderaan lain di laluan bertentangan.
“Mangsa yang cuba mengelak dengan menukar laluan kemudian merempuh tayar kanan kenderaan berat tersebut hingga menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.
“Manakala, pemandu lori yang berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk dibedah siasat.
Katanya, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










