Bekas tentera maut dalam kemalangan di Jalan Bau-Kuching - Utusan Malaysia

Bekas tentera maut dalam kemalangan di Jalan Bau-Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAU 15 Okt. – Seorang bekas tentera maut setelah motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Bau-Kuching di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Zaidin Roseli, 55, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa tersebut berasal dari Kampung Batu Kitang Jaya dikatakan sedang menunggang motosikal dari Bau menuju ke Kuching.

“Bagaimanapun, mangsa yang cuba memotong sebuah lori di laluan sama gagal apabila mendapati terdapat kenderaan lain di laluan bertentangan.

“Mangsa cuba mengelak dengan masuk kembali ke laluannya namun merempuh tayar belakang kanan lori hingga menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, pemandu lori yang berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat dan pihak polis sudah merakamkan keterangan pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN