ALOR SETAR – Bekas Pengetua Maktab Mahmud Pendang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa melibatkan projek membaik pulih dan pendawaian elektrik bernilai RM23,763 di sekolah agama tersebut sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Rafida Ramli, 46, yang merupakan isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Ahmad Yahaya membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengetua Maktab Mahmud Pendang bagi menyokong borang permohonan pembelian dan pembaikan bagi kerja-kerja pendawaian elektrik di asrama sekolah bernilai RM1,240 oleh Perniagaan MZ Nadi Cahaya Enterprise milik adiknya, Mohd. Zuhdi Ramli, 30.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sekolah berkenaan yang terletak di Kampung Penyarum, Pendang dekat sini pada 13 Januari 2015.
Dalam pertuduhan kedua, Rafida dituduh melakukan kesalahan sama dengan menyokong borang permohonan tersebut bagi membaik pulih pendawaian elektrik di Aspura sekolah bernilai RM365 oleh syarikat serupa di lokasi sama pada 22 Mac 2015.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi kerja-kerja membaik pulih pendawaian asrama bernilai RM3,075 dan membekal serta memasang kipas siling dan pendawaian bernilai RM4,400 oleh Perniagaan Alir Kuasa Enterprise yang digunakan Mohd. Zuhdi pada 6 April 2016.
Rafida turut berhadapan dengan tiga lagi pertuduhan membabitkan kerja-kerja pendawaian elektrik di asrama putera dan puteri bernilai RM6,074, pendawaian elektrik di blok akademik bernilai RM3,365 dan membaik pulih serta pendawaian baharu untuk bengkel, blok akademik dan kantin bernilai RM5,244 oleh Perniagaan Alir Kuasa Enterprise pada 9 Jun, 12 Jun dan 18 Julai 2016. – K! ONLINE











