KUALA LUMPUR 4 Okt. – Seorang bekas peguam dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana pecah amanah membabitkan wang pertaruhan RM40,000 yang dibayar oleh seorang ejen hartanah kepada firma guamannya, antara 2015 dan 2016.
P. Santhanam, 58, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin atas pertuduhan pecah amanah wang yang dibayar oleh Lee Wai Chuang, 57, bagi urusan bayaran balik hutang mendiang suaminya, Lim Sok Poh, 68.
Santhanam didakwa melakukan perbuatan itu ketika menjadi ejen iaitu peguam bela dan peguam cara di firma guaman, Tetuan P. Santhanam & Co. di B-2-13A, Blok B, Viva Mall di Jalan Ipoh, dekat sini antara 16 Julai 2015 dan 4 Januari 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne sementara tertuduh diwakili peguam, Susan Joseph.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda dan membenarkan permohonan peguam untuk tertuduh ditempatkan di Penjara Tapah, Perak berikutan masalah kesihatannya yang kronik.
Pada 14 Ogos lalu, Santhanam dihukum penjara lima tahun dan denda RM66,400 oleh mahkamah sama di sini setelah mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang kutipan sewa premis dan urusan pembelian empat buah rumah serta tanah milik pelanggannya melibatkan jumlah RM700,204.61. – UTUSAN ONLINE











