KUALA LUMPUR 1 Okt. – Masih bertali pusat, kelaparan dan terpaksa menahan kesejukan.
Itu semua terpaksa dilalui seorang bayi lelaki apabila ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah di Pinggiran Lembah Hijau 4, Bandar Tasik Puteri Rawang, dekat sini hari ini.
Bayi yang tidak dapat dipastikan bangsa dan identiti itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan tuala serta dialas jaket hitam selain kesan darah oleh seorang suri rumah kira-kira pukul 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 7.10 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
“Bayi yang masih hidup itu ditemui di kerusi pintu masuk rumah berkenaan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan serta tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seskyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











