LONDON 30 Sept. – Seorang bayi yang cedera parah selepas terjatuh dari ketinggian 12.2 meter pada Julai tahun lalu, mengejutkan ramai pihak apabila berjaya sembuh sepenuhnya.
Lapor Mirror Online, bayi tersebut, Anwar Nyanzi yang ketika itu berusia 11 bulan dikatakan memanjat kerusi di tepi tingkap rumah ibu saudaranya di Croydon, South London lalu terjatuh ke bawah.
Anwar mengalami cedera parah di otak dan tulang belakangnya serta doktor menyatakan dia mempunyai satu peratus sahaja peluang untuk hidup.
Namun, dia berjaya bernafas semula tanpa bantuan pernafasan serta mampu berdiri semula selepas beberapa minggu kejadian itu berlaku.
“Ia merupakan satu keajaiban. Anwar berjaya sembuh meskipun cedera parah,” kata ibunya, Hawa Rutansingwa.
Hawa berkata, dia pengsan ketika tiba di tempat kejadian dan melihat keadaan Anwar.
“Kepalanya seperti belon. Salah satu matanya hampir terkeluar daripada kepalanya tetapi dia membuktikan bahawa dia seorang yang kuat,” ujar Hawa.
Anwar juga terpaksa menjalani pembedahan otak dan rawatan untuk tulang rusuk serta lengannya yang patah di Hospital St. George di Tooting selama lebih empat hari.









