Baru lima hari, Mawar dapat RM1,000 untuk servis ucapan - Utusan Malaysia

Baru lima hari, Mawar dapat RM1,000 untuk servis ucapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Selepas Janna Nick, kini giliran pelakon jelita Mawar Rashid pula menyediakan servis ucapan kepada peminat namun dengan harga yang lebih murah iaitu RM20.

Turut menyokong tindakan Janna, Mawar yang dihubungi Kosmo! Online memberitahu, idea menyediakan perkhidmatan seperti ucapan hari lahir, tahniah dan ucapan sebelum menduduki peperiksaan disifatkan sebagai salah satu cara dia menghargai peminat.

“Pada saya idea servis ucapan ini sangat kreatif dan saya sendiri menyokong idea Janna itu. Bagaimanapun, disebabkan jumlah pengikut saya tidaklah begitu ramai, jadi saya tawarkan harga yang lebih rendah.

“Satu hari saya hanya hadkan kepada 10 servis ucapan sahaja. Alhamdulillah sehingga kini sambutan sangat menggalakkan apabila sudah mengutip lebih dari RM1,000,” kongsi Mawar.

Pelakon drama rantaian Pencuri Cinta Kelas Satu itu turut menambah, penyediaan servis ucapan itu juga sebagai salah satu cara untuk dirinya mencari rezeki sementara berehat dalam bidang lakonan kerana sedang hamil empat bulan.

Mawar turut berbincang dengan suaminya Raf Yaakob sebelum menyediakan perkhidmatan ini, malah dia juga tidak mahu memikirkan kritikan netizen yang mengecam tindakannya itu.

“Saya sedang hamil empat bulan, jadi sementara tempoh berehat dalam bidang lakonan ini, lebih baik saya mencari rezeki menggunakan media sosial.

“Mungkin hati saya sudah kebal, jadi saya tidak kisah sekiranya terdapat peminat yang mengecam perkhidmatan ini. Biarlah saya ambil kata-kata positif sahaja dari peminat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN