Barang sentimental di Pasar Karat - Utusan Malaysia

Barang sentimental di Pasar Karat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN 22 Okt. – Pasar mingguan yang menjual pelbagai barangan antik, Pasar Karat di Jalan Intan, Bandar Baru Teluk Intan di sini menjadi tumpuan ramai setiap hari Ahad.

Sejak dibuka pada 2013, pasar yang digerakkan oleh seramai 30 peniaga itu mendapat sambutan terutama peminat barangan antik.

Peniaga di situ datangnya dari pelbagai daerah antaranya Bagan Datuk, Sabak Bernam, Kampung Gajah dan Teluk Intan yang menjual pelbagai barangan antik yang sukar diperoleh hari ini antaranya radio lama dan duit siling lama yang berusia berpuluh tahun.

Penasihat Persatuan Peniaga Pasar Karat, Ismail Harun, 59, berkata, pasar minggu itu dibuka mulai pukul 7 pagi hingga 2 petang setiap hari Ahad berhampiran stesen bas ke Kuala Lumpur yang menyebabkan ia mudah menjadi tumpuan ramai.

Menurutnya, ekoran sambutan yang menggalakkan, Pasar Karat berpotensi menjadi tarikan pelancong di bandar ini.

“Selain Menara Condong di sini, Pasar Karat juga menarik minat ramai pengunjung khususnya peminat barangan antik termasuk dari luar daerah ini,” katanya.

Seorang peniaga, Juniadi Idris, 29, yang sudah tiga tahun berniaga di situ berkata, dia menjual barang-barang la­ma termasuk pakaian lama yang mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, pada awalnya perniagaannya kurang mendapat sambutan tahun lalu kerana tidak ramai pengunjung.

“Keadaan semakin baik ketika ini apabila pelanggan yang da­tang pasti akan membawa sesuatu untuk pulang. Mereka membeli barangan yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya.

Seorang pelanggan, Rosli Jumbri, 51, dari Klang, Selangor memberitahu, setiap minggu dia pasti akan datang ke Pasar Karat di sini untuk mencari barangan antik.

“Apa yang menarik dan istimewanya di sini ialah barang-barang yang hendak dicari pasti ada, tidak pernah tidak dapat, berbeza dengan pasar karat di tempat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN