Banyak pihak kritik nak serang saya - Anwar - Utusan Malaysia

Banyak pihak kritik nak serang saya – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 1 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis sindiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau tidak konsisten ketika berdepan pengundi pelbagai kaum dan agama.

Jelas Anwar, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung kritikan Abdul Hadi tersebut namun beliau beranggapan dalam tradisi Islam tidak menghalang untuk menghormati hak beragama masyarakat lain.

“Dahulu masa mereka dalam Pakatan Rakyat saya pergi boleh pula, malah dalam majlis di dewan-dewan di kuil ramai juga orang Pas yang hadir ikut saya. Oleh itu, saya konsisten tak mahu ulas atau jawab kenyataan Abdul Hadi kerana kebelakangan ini banyak pihak kritik nak serang saya, jadi saya tak mahu jawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang penting kita harus sedar bahawa dalam tradisi Islam kita tidak menghalang untuk menghormati hak beragama, saya bukanlah hadir untuk bersembahyang di kuil, bukan juga hadir untuk mengiringi mereka bersembahyang di kuil, saya hadir dalam majlis kebudayaan di perkarangan kuil, jadi saya akan teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), bagi Pilihan Raya Keci (PRK) Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Pas di sini semalam, Abdul Hadi berkata, Anwar sebagai umat Islam sepatutnya lebih konsisten dengan pegangan agamanya.

Sementara itu, mengulas persoalan mengapa beliau tidak memilih untuk bertanding di kerusi majoriti Melayu seperti kawasan Parlimen Permatang Pauh, Anwar berkata, situasi Port Dickson yang melambangkan strutur masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum membuatkan beliau memilih kawasan tersebut.

“Kalau saya bertanding di kawasan majoriti Melayu nanti mereka persoalkan kenapa saya tidak bertanding di kawasan yang terdiri daripada pelbagai kaum kerana saya sepatutnya menjadi pemimpin di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Di Port Dickson ini secara kasarnya mewakili struktur negara ini iaitu hampir 50 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 20 peratus masyarakat India, cuma tiada masyarakat Iban dan Kadazan, tapi saya gembira dapat berjumpa seorang pengundi etnik Kadazan yang telah berada di Port Dickson selama 15 tahun yang merupakan bekas anggota tentera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini