PORT DICKSON 9 Okt. – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat di Port Dickson melakukan sedikit lagi perubahan dengan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 13 Oktober nanti.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas 11 tahun berada di dalam penjara dan dinafikan hak untuk bertanding dalam pilihan raya, Anwar perlu diberi peluang untuk kembali ke Parlimen sebagai wakil rakyat.
“Kami mohon, Anwar telah berkorban dan marilah beri peluang kepadanya untuk masuk dalam Parlimen menjadi wakil rakyat dan bersama-sama memulihkan negara.
“Inilah masanya, berapa ramai Ahli Parlimen rakyat sudah tukar, apa salahnya tukar sikit lagi dengan PRK kali ini untuk memilih Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Ceramah Mega Mahathir Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia, di sini malam tadi. – UTUSAN ONLINE










