SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang bekas pengawal keselamatan kilang elektronik membunuh seorang wanita dalam pantang tiga tahun lalu mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Azmirul Shamsuddin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd. Azman dalam penghakiman menjelaskan bahawa pembelaan yang dilakukan oleh tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata.
“Justeru itu, mahkamah tiada mempunyai pilihan kecuali menjatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa membunuh Rabiatul Adawiah, 24, di No. 8, Blok F, Pangsapuri Mentari Court, Sungai Way di sini pukul 8.22 malam pada 4 Mac 2015.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dengan mengemukakan seramai 14 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula awal Januari tahun ini.
Sementara, tertuduh diwakili Peguam Halim Ashgar Mohd. Hilmi hanya mengemukakan seorang saksi pembelaan.
Kosmo! pada 6 Mac 2015 melaporkan seorang wanita yang masih dalam pantang ditemui mati bersebelahan bayi perempuan yang sedang tidur di dalam bilik rumahnya di tingkat 8 Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway pada 4 Mac 2015. – K! ONLINE










