KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan diharap tidak akan memperkenalkan cukai yang tidak menggalakkan pelaburan dan mengekalkan kadar semasa bagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).
Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen (gambar) berkata, kerajaan tidak perlu melaksanakan cukai baharu ke atas industri hartanah terutama yang tidak produktif seperti cukai kekosongan atau ‘vacancy tax’.
Katanya, kerajaan juga perlu mengelak daripada melaksanakan langkah-langkah yang melampau dan gangguan berlebihan yang boleh menyekat pertumbuhan pasaran.
“Memandangkan perubahan baharu dalam kerajaan, pasaran dan pelabur asing terutamanya akan meminta jaminan atas keyakinan mereka terhadap Malaysia. Ini terutamanya diterapkan melalui dasar yang konsisten.
“Jadi, elakkan perubahan yang tidak menentu yang akan mencetuskan kejutan atau kekeliruan dalam pasaran,” katanya di sini hari ini.
Gee Jen juga menggesa lebih banyak insentif untuk menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk kos pembinaan perumahan yang lebih rendah dan seterusnya harga rumah.
Sementara itu, Presiden Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (Peps), Michael Kong meminta kerajaan untuk memberi tumpuan kepada penubuhan sebuah agensi pusat dan pangkalan data serta maklumat berkaitan.
Tambah beliau, maklumat dan pangkalan data perlu dikongsi dalam menyelesaikan isu ketidakpadanan dalam bekalan perumahan dan permintaan.
“Ketidakpadanan berlaku apabila tidak ada penyelidikan yang betul dilakukan pada lokasi pembinaan perumahan mampu milik. Ini adalah masalah kritikal kerana kita hanya membina di mana sahaja yang kita fikir perlu mempunyai perumahan itu.
“Jika anda membina di tempat yang tidak ‘diingini’, siapakah yang akan membeli? Ini seterusnya menyumbang kepada masalah yang kita hadapi sekarang,” katanya.










