KUALA LUMPUR 22 Okt. – Persoalan sama ada kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar ataupun tidak, hanya akan terjawab pada pembentangan Bajet 2019, 2 November ini di Parlimen.
Pastinya segenap lapisan masyarakat menantikan langkah-langkah yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei lalu dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Ada pihak mencadangkan subsidi ini diperuntukkan dengan berpandukan kepada kapasiti enjin kenderaan iaitu motosikal dengan 125cc ke bawah dan kereta 1,300cc ke bawah layak menerima subsidi bahan api.
Bagaimanapun, pemerhati pasaran masih tertanya-tanya apakah mekanisme yang akan diguna pakai di pam petrol untuk memastikan hanya pengguna yang layak sahaja boleh mengisi petrol yang telah disubsidi?
Menurut Affin Hwang Capital, sesetengah pihak mencadangkan untuk menggunakan pangkalan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemilik kereta yang layak akan menerima baucar atau kad menerusi pos yang dikirimkan kepada mereka dengan had maksimum untuk setiap pemilik kenderaan.
“Walau bagaimanapun ini hanya satu cadangan, yang mungkin tidak dilaksanakan kerana mengundang risiko penyalahgunaan, tetapi kami percaya terdapat sesetengah pendekatan masih berguna untuk menampung jumlah subsidi ini berbanding menyediakan jumlah subsidi yang penuh.
“Dalam hal ini, kami percaya agensi penarafan antarabangsa akan menyemak semula usaha kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal terutama pengurangan subsidi dan mekanisme ke arah subsidi bersasar berbanding subsidi penuh,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
* Subsidi
Berdasarkan anggaran firma penyelidikan itu, dengan mengambil kira subsidi bersasar layak untuk 40 peratus daripada pengguna kenderaan, dengan peningkatan AS$1 (RM4.16) bagi harga minyak mentah akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi bahan api sebanyak RM270 juta.
“Ini adalah kurang berbanding hasil tambahan kerajaan bagi peningkatan harga minyak yang sama pada RM390 juta (dengan menganggap tiada perubahan kepada subsidi penuh bahan api). Namun, kerajaan dijangka meneruskan langkah yang sesuai bagi subsidi bersasar terutama untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.
Bagi menunaikan janji manifesto 100 hari PH, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperuntukkan RM3 bilion sehingga hujung tahun ini untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel.
Susulan itu, harga jualan runcit bagi produk petroleum RON95 dan diesel dikekalkan, masing-masing pada harga RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter manakala RON97 diapungkan secara apungan terurus, sama seperti yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu.
* Bertuah
Sementara itu, Rakan Kerjasama Pengurusan Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk Narendra Jasani berkata, Malaysia amat bertuah kerana mempunyai hasil daripada Petronas sama ada dari segi cukai dan dividen, yang akan menyumbang lebih banyak kepada pendapatan kerajaan pada tahun ini berbanding 2017.
“Peningkatan ini sudah tentu disebabkan harga minyak yang semakin meningkat daripada serendah AS$45 (RM187.11) setong pada awal tahun lalu kepada AS$80 (RM332.64) setong (setakat hari ini),” katanya.
Petronas sebelum ini komited untuk membayar dividen sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan tahun ini berbanding RM16 bilion pada 2017. Pada separuh pertama 2018, Petronas merekodkan perolehan sebanyak RM117.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding RM108.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Namun, menurut beliau, sebelum mempertimbangkan melaksanakan cukai baharu yang menyebabkan Malaysia menjadi negara dengan begitu banyak cukai, kerajaan perlu memastikan cukai sedia ada dibayar dan dikutip dengan sistematik.
“Rakyat pastinya tidak suka dengan tindakan kerajaan sebelum ini dalam kutipan cukai. Bagaimanapun, adalah penting audit cukai dan siasatan dijalankan terutama bagi cukai yang sudah lama tidak dibayar atau muncul tanpa sebab munasabah.
“Dalam hal ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu meningkatkan pematuhan cukai dan pada masa sama mengurangkan jurang cukai. Ini bagi memastikan cukai yang betul dikutip dan bersikap adil kepada pembayar cukai tegar,” katanya.










