Bagan Datuk berwajah baharu - Utusan Malaysia

Bagan Datuk berwajah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK 30 Sept. – Bangunan rumah kedai yang dibina pada tahun 1936 di pekan Bagan Datuk kini berwajah baharu apabila dicat dengan pelbagai warna.

Keadaan itu menerbitkan suasana ceria di pekan kecil itu yang sebelum ini digelar sebagai pekan koboi atau pekan mati.

Kontraktor pelaksana projek tersebut, Mokhdani Enterprise, Mohammed Dani Mohd. Sultan, 41, berkata, idea untuk mengindahkan dan mengecat bangunan lama di pekan Bagan Datuk adalah idea Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, mengindahkan pekan Bagan Datuk dengan me­ngecat bangunan rumah kedai di pekan kecil itu merupakan antara usaha menaik taraf yang dirancang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, usaha itu merupakan antara langkah untuk menghidupkan semula pekan Bagan Datuk setelah beberapa tarikan lain seperti Bagan Datuk Water Front dibina.

“Wajah baharu ini, diharapkan dapat menceriakan pekan Bagan Datuk dengan imej dan warna yang cantik serta dapat menarik kedatangan pelancong.

“Usaha ini diterima baik dan dipersetujui oleh pemilik kedai yang menyambut baik langkah mengecat semula premis perniagaan mereka dengan pelbagai warna,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Zahid banyak memberikan idea untuk wajah baharu Bagan Datuk dengan semua premis perniagaan di sini dicat semula, memperbaiki sistem peparitan, membina lampu jalan dan me­lebarkan jalan yang sempit.

“Projek mengindahkan ba­ngunan lama di sini dimulakan Mei lalu sehingga bulan Januari ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zainal Abidin Ismail, 72, gembira kerana perubahan pada bangunan lama di pekan Bagan Datuk.

“Ini memberikan keceriaan dan pemandangan yang menarik di pekan Bagan Datuk,” katanya.

Pemilik kedai, Keat Chuan, 52, berkata, dia suka dengan wajah baharu premis perniagaannya yang menjadikannya lebih cantik dan menarik.

“Terima kasih kepada pihak yang mencantikkan premis perniagaan saya sekali gus menjadikan pekan ini lebih ceria,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini