KOTA BHARU 4 Okt. – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menjunjung kasih kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menamakan beliau di antara empat figura berpotensi menjadi Perdana Menteri di masa akan datang.
Malah Mohamed Azmin berkata, beliau telah membalas ciapan Tunku Ismail bagi menlahirkan rasa penghargaan di atas pandangan baginda.
“Sebagai rakyat dan pemimpin PKR, saya menghargai pandangan Tuanku Ismail walaupun pandangan peribadi baginda. Saya cukup menghargainya. Saya telah menciap balas bagi menjunjung kasih di atas pandangan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR, di sini petang tadi.
Semalam, Tunku Ismail menamakan empat figura berpotensi menjadi perdana menteri di masa akan datang.
Bagaimanapun Tunku Ismail menjelaskan kenyataan itu bukan bersifat mahu mencampuri hal politik tetapi sekadar pilihan peribadinya sahaja.
“Ini cuma pilihan saya, tidak mencampuri hal politik langsung, jadi jangan ada yang melatah.
“Anda tahu siapa yang saya rasa berpotensi menjadi perdana menteri terbaik satu hari nanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Azmin Ali, Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah,” katanya dalam ciapan berkenaan. – UTUSAN ONLINE











