Aziz Bari dilantik Naib Pengerusi DAP Perak - Utusan Malaysia

Aziz Bari dilantik Naib Pengerusi DAP Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING 14 Okt. – Satu-satunya calon Melayu yang bertanding pada pemilihan DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari hari ini mencatat sejarah apabila memperoleh jumlah undian tertinggi iaitu sebanyak 890 undi daripada keseluruhan 24 calon bertanding.

Bilangan undi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu mengatasi pemimpin utama negeri seperti Nga Kor Ming yang memperoleh 701 undi dan Datuk Ngeh Koo Ham dengan 667 undi.

Dengan kemenangan hasil pemilihan oleh 1,332 perwakilan itu, Abdul Aziz sebulat suara dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Perak bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A.Sivanesan bagi tahun 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak menyangka akan kemenangan ini. Saya mula menjadi ahli DAP pada Ogos 2015,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan pemilihan pada kali ini menyaksikan kem Kor Ming menguasai keputusan pemilihan DAP negeri dengan majoriti wakil rakyat parti itu memperoleh 15 undian tertinggi.

Kor Ming dan Koo Ham masing-masing kekal sebagai Pengerusi dan Penasihat DAP Perak. Jawatan Timbalan Pengerusi DAP Perak pula disandang oleh Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

Sementara itu, Kor Ming berkata, beliau berbangga kerana pemimpin Melayu seperti Abdul Aziz mampu memperoleh undian tertinggi dan para perwakilan membuat keputusan mengikut kewibawaan calon dan bukannya berasaskan kaum.

“Saya harap ini dapat menarik lebih banyak sokongan Melayu dan kaum lain supaya DAP menjadi pilihan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini