Dalam politik, individu atau pemimpin biasanya tidaklah terlalu penting berbanding parti yang diwakilinya. Pemimpin boleh datang dan pergi serta silih berganti tetapi parti tidak begitu kerana merupakan entiti paling penting yang perlu dipertahankan.

Tanpa parti siapalah pemimpin. Berkuburnya parti bermakna hilanglah pemimpin. Tiada lagi tempat untuk bernaung dan platform untuk meneruskan agenda perjuangan yang boleh diwarisi pemimpin, pengganti atau pelapis selepas itu.
Begitu juga dalam sukan. Tanpa persatuan sukan, siapalah atlet dan di mana mereka hendak bernaung untuk mewakili negara tercinta atau meneruskan karier. Jadi amat penting untuk memastikan persatuan sukan terus wujud pada ketika atlet akan sentiasa datang dan pergi.
Mat memilih untuk memulakan coretan dengan mukadimah seperti ini kerana ingin mengingatkan bahawa persatuan sukan sebenarnya lebih besar dan penting berbanding atlet. Maka tunjuk sedikit rasa hormat kepada pemimpin persatuan sedia ada.
Persatuan sukan adalah badan yang bertanggungjawab menyediakan landasan dan menaikkan nama atlet. Jadi jangan lupa jasa persatuan apabila atlet sudah berjaya. Sampai bila-bila pun, jangan ada sekelumit perasaaan dalam jiwa atlet yang merasakan diri mereka lebih besar daripada persatuan.
Pegangan ini harus menjadi iltizam dalam jiwa atlet jika mahu kejayaan yang mereka kecapi diberkati dan diiktiraf. Menuduh persatuan sukan cuba memperalatkan diri atlet yang berjaya harus dijauhi.
Menuduh persatuan sukan cuba menjadikan diri atlet sebagai kambing hitam untuk menjana sumber kewangan adalah tidak wajar sama sekali. Fikirlah apa yang telah persatuan lakukan untuk membantu kita sebelum ini.
Pada Mat apabila sudah berjaya, apa salahnya bantu persatuan sukan pula dengan menggunakan nama dan kejayaan yang atlet itu ada. Jadi ada amalan memberi dan menerima di situ.
Memang dahulu atlet melalui zaman susah sebelum berjaya mencipta nama. Apa salahnya selepas berjaya, sumbangkan sedikit menerusi nama yang kita ada untuk membantu kepentingan dan survival persatuan pula.
Banyak sumbangan boleh atlet berikan, jangan berkira kerana ketika ada nama inilah masa terbaik untuk membalas jasa persatuan. Barulah persatuan boleh hidup dan berkembang seterusnya membantu atlet-atlet lain pula untuk berjaya.
Jadi kepada atlet yang sudah terkenal, jangan lupa jasa persatuan sukan kepada kita. Usah pentingkan diri sendiri sahaja. Kita bukan sahaja boleh menyumbang dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam mencari penajaan dan menawarkan kepakaran untuk memajukan dan meningkatkan pencapaian sukan yang kita ceburi selama ini.
Mat terpanggil untuk menulis coretan ini kerana di Malaysia tidak ramai atlet profesional yang berjaya. Tetapi dengan bilangan kecil inilah, jika atlet yang sudah berjaya itu ada semangat tidak pentingkan diri sendiri mampu menjadi titik tolak kepada menjadikan kelompok ini semakin ramai pada masa hadapan.










