IPOH 29 Okt. – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lumut mempertahankan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa ketuanan Melayu telah berakhir.

Ketuanya, Akmal Maradzi berkata, isu tersebut perlu difahami dalam konteks yang meluas dengan melihat ia sebagai satu bentuk pengukuhan kepada kekuatan orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Saya merasakan tidak ada salah di sebalik kenyataan Syed Saddiq. Melayu itu tetap akan wujud dan dipertahankan dari segi sejarah, bahasa, agama dan hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Cuma orang Melayu perlu ada kesaksamaan dari segi kekuatan sosioekonomi setaraf dengan bangsa-bangsa lain, inilah yang perlu kita pastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Akmal menyifatkan kenyataan Syed Saddiq merupakan satu peringatan kepada orang Melayu supaya tidak terus dibelenggu pemahaman yang salah di sebalik ungkapan ‘ketuanan Melayu’. – UTUSAN ONLINE










