KUALA LUMPUR 30 Sept. – Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI) Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya memenangi Anugerah Penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam pada acara Anugerah Kewangan Islam Global Ke-8 yang diadakan di Sarajevo, Bosnia Hazegovina, semalam.
ARI diumumkan penerima anugerah berprestij itu sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi institut tersebut dalam memajukan penyelidikan akademik, perundingan, inovasi dan latihan, khususnya dalam bidang Kriminologi Kewangan Islam.
Berita berkaitan:
Pengarah ARI, Profesor Normah Omar dan Timbalan Pengarah institut itu, Profesor Madya Dr. Jamaliah Said menerima anugerah tersebut di Hotel Hills, Sarajevo.
Dalam ucapan tahniah kepada ARI, Naib Canselor UiTM, Professor Emiritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, universiti itu sangat berbangga dengan pencapaian ARI tersebut.
“Pengiktirafan dalam Anugerah Penyelidikan Kriminologi Islam adalah satu penghormatan berprestij yang mengiktiraf ARI sebagai institut penyelidikan bertaraf antarabangsa, khusus untuk memajukan bidang tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
ARI adalah antara enam institusi penyelidikan perintis yang dianugerahkan status Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICoE) pada tahun 2010 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Institut itu sebelum ini turut memenangi Anugerah Pengurusan Risiko ASEAN Global pada tahun 2016 dan 2017, Anugerah Global ACQ pada tahun 2015 dan 2016 dan Anugerah Tadbir Urus Global pada tahun 2017.
Seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah Hab Kewangan Islam global, ARI telah memainkan peranan utama dalam menyokong industri Kewangan Islam yang mampan.
Dalam tempoh lapan tahun sejak penubuhannya, ARI telah menjadi pemimpin global di Malaysia dalam Penyelidikan Kriminologi Kewangan Islam.
Inisiatif penyelidikan ARI dalam Kewangan Islam telah membawa kepada pembangunan produk baru untuk menyokong pembiayaan mikro Islam, Perusahaan Sosial berasaskan Islam, E-Biz Waqaf dan Filantropi Islam.











