RIYADH – Kerajaan Arab Saudi menyifatkan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di konsulat negara itu di Istanbul sebagai ‘kesilapan besar dan serius’.
Riyadh bagaimanapun cuba melindungi pewaris takhta, Putera Mahkota Mohammed bin Salman daripada terbabit dalam krisis tersebut dengan memberikan alasan bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenainya.
Komen diutarakan oleh Menteri Luar, Adel Al-Jubeir itu adalah antara yang paling terbuka daripada Riyadh selepas Arab Saudi memberikan pelbagai penjelasan bercanggah mengenai pembunuhan Jamal pada 2 Oktober lalu. Riyadh pada mulanya menafikan kematian Jamal, namun kemudian mengakui perkara itu berikutan kemarahan masyarakat antarabangsa.
“Operasi itu adalah operasi jahat. Ia merupakan operasi yang mana individu-individu melangkaui bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” kata Adel kepada saluran berita AS, Fox.
“Mereka (ejen Arab Saudi) melakukan kesilapan apabila membunuh Jamal Khashoggi di dalam bangunan konsulat di Istanbul dan cuba menyembunyikan perbuatan tersebut,” tambahnya.
Penafian berminggu-minggu oleh Arab Saudi berserta ketiadaan bukti kukuh untuk menolak tuduhan pihak berkuasa Turki bahawa Jamal mati akibat dibunuh telah menjejaskan keyakinan dunia terhadap negara pengeksport minyak terbesar itu.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Stephen Mnuchin berkata, pengakuan Riyadh bahawa kolumnis akhbar Washington Post itu terbunuh dalam satu pergaduhan di konsulat Arab Saudi di Istanbul merupakan langkah awal yang baik tetapi tidak mencukupi.
Menurut Adel, Riyadh tidak tahu bagaimana Jamal yang merupakan warganegara Arab Saudi dan penduduk tetap AS, dibunuh dan di mana mayatnya berada.
Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berjanji kelmarin untuk mendedahkan kebenaran berhubung kematian Jamal secara terang-terangan dalam masa beberapa hari lagi.
Erdogan yang masih belum menyalahkan Arab Saudi secara langsung berhubung krisis tersebut turut bercakap dengan Trump melalui telefon kelmarin.
Dalam perbincangan mereka, kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju bahawa kes Jamal perlu diperjelaskan dalam semua aspeknya, demikian menurut sumber Presiden Turki. – AFP/Reuters









