BERCAKAP tentang kerugian dalam pelaburan atau perdagangan saham, tidak dinafikan Cikgu Saham kerap menerima mesej peribadi daripada pengikut di media sosial Facebook yang menceritakan tentang kerugian yang dialami.
Kerugian saham boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor-faktor yang menjurus kepada kerugian di dalam pelaburan saham telah diterangkan di ruangan yang lepas dalam kolum ini.
Sentimen pasaran juga merupakan faktor besar dalam menyumbang kepada kerugian yang dialami oleh pelabur dan pedagang saham. Boleh dirumuskan juga bahawa iklim pasaran pada tahun ini agak kurang memberangsangkan atau kerap dikelilingi oleh sentimen negatif.
Kebiasaannya orang yang melibatkan diri dalam pasaran yang kurang setahun merupakan sasaran terbesar yang mengalami kerugian dalam pelaburan saham. Ini kerana mereka belum mahir membuat kajian saham, meramalkan turun naik saham serta kurang peka dengan iklim pasaran.
Mereka juga kurang bimbingan atau tunjuk ajar dalam selok-belok pasaran. Walaupun ada yang telah mengikuti kelas-kelas pembelajaran saham, ramai yang masih mengalami kerugian kerana sentimen-sentimen pasaran negatif yang melanda pasaran saham.
Sentimen negatif
Sentimen-sentimen berbentuk negatif yang merupakan pengalaman pertama kali atau merupakan satu perkara baharu bagi newbie saham ini telah mengakibatkan mereka kerugian kerana harga saham yang dibeli atau disimpan telah menyusut.
Sentimen negatif yang paling ketara dan menjadi perbualan hangat dalam dunia saham media sosial tidak lama dulu ialah sentimen sejurus keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu. Kita telah menyaksikan kejatuhan harga saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sehingga mencecah paras limit-down atau penurunan sebanyak 30 peratus.
Kesan penurunan yang drastik ke atas saham-saham berkaitan kerajaan terdahulu sehingga sekarang ada yang masih belum pulih sehingga sekarang. Pendek kata, pelabur yang membeli sebelum keputusan PRU-14 yang masih menyimpan saham-saham tersebut sehingga sekarang, harga saham tersebut masih belum naik yang membolehkan mereka meraih keuntungan.
Sentimen daripada peralihan kuasa ini diburukkan lagi dengan isu perang dagang antara Amerika Syarikat dan China yang belum lagi menemui jalan penyelesaian. Isu-isu kecil atau apa-apa pengumuman baharu yang bakal diuar-uarkan juga akan memberi tekanan ke atas pasaran global. Justeru, ia juga memberi impak ke atas pasaran tempatan sekali gus mempengaruhi pergerakan harga-harga saham.
Berhenti seketika
Maka, pelabur atau pedagang saham yang telah mengalami kerugian yang besar harus berhenti seketika daripada meneruskan aktiviti saham. Ini kerana mereka masih belum biasa dengan pergerakan turun naik pasaran dan juga kemungkinan tidak mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan harga sesuatu saham syarikat tersenarai berpotensi jatuh.
Newbie saham yang telah menghadiri kelas-kelas saham berbayar juga disarankan untuk tidak memasuki mana-mana kelas saham lebih-lebih lagi yang berharga ribuan ringgit untuk sementara waktu. Ini disebabkan sesetengah kursus atau kelas saham tidak mempunyai bimbingan dan cara-cara memulih portfolio pelaburan yang negatif. Pelabur dan pedagang saham yang mengalami kerugian yang banyak masih dalam keadaan tertekan atau risau.
Mereka mungkin tidak dapat membuat keputusan dengan baik lebih-lebih lagi perlu bertindak sendirian untuk membetulkan portfolio yang negatif. Tenaga pengajar dalam kelas-kelas saham juga ada yang bukan merupakan individu-individu yang berkelayakan dalam bidang ini.
l Tiada nasihat
Maka, pelabur dan pedagang saham yang kerugian mungkin tidak mendapat nasihat pelaburan yang betul. Sememangnya individu-individu yang tidak berkelayakan ini tidak boleh memberikan khidmat nasihat pelaburan kepada orang ramai.
Dalam keadaan fikiran dan emosi yang terganggu kerana dibayangi oleh kerugian lampau atau kerugian semasa di dalam portfolio pelaburan, pelabur dan pedagang ini tidak dapat membuat keputusan dengan bijak. Oleh kerana mereka merasa terdesak untuk menutup kerugian tersebut, mereka akan cuba memasuki pasaran tanpa mengira waktu.
Tindakan yang lebih dikuasai oleh emosi dan rasa terdesak ini walau bagaimanapun tidak dapat dihalang kerana pelabur dan pedagang masa kini membuat jual beli saham sendiri di dalam talian.
Dengan tindakan sedemikian ditakuti bakal menjadikan kerugian menjadi semakin besar lebih-lebih lagi sekiranya keadaan pasaran masih tidak menentu.
Kita sambung topik ini di minggu hadapan.











